PERTAHANAN JDT, Hariss Harun (kanan) mengekang pemain Muangthong.
PERTAHANAN JDT, Hariss Harun (kanan) mengekang pemain Muangthong.
Syafiq Aznan


MUANGTHONG United sekali lagi meleburkan harapan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas kelab dari Thailand itu menang besar 5-2 pada aksi pusingan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia di Stadium Supachalasai, Bangkok, malam ini.

Selepas mengecewakan juara Liga Super 2017 itu pada peringkat sama 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti dua tahun lalu, naib juara Liga Perdana Thailand itu nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mudah mendahului anak buah Ulisses Morais dengan tiga gol hanya dalam tempoh 27 minit pertama.

Keputusan ini sekali gus menyaksikan pasukan bimbingan Sripan Totchtawan itu mara ke peringkat play-off bertemu kelab Jepun, Kashiwa Reysol sementara JDT beraksi dalam Piala AFC dalam Kumpulan H bersama Tampines Rovers, Persija Jakarta dan Song Lam Nghe An.

Pada aksi itu, Muangthong bermula garang apabila Theerathon Bunmathan hampir memberikan gol pembukaan seawal minit ketiga namun dipintas Fazly Mazlan sebelum JDT turut memperagakan permulaan meyakinkan menerusi rembatan Safiq Rahim tetapi gagal menemui sasaran dua minit berselang.

Bagaimanapun, pertahanan JDT akhirnya dihukum Muangthong yang menyaksikan Adisark Kraisorn bijak melepasi perangkap ofsaid dan melorongkan bola kepada Sarach Yooyen yang tidak dikawal untuk gol pembukaan tuan rumah pada minit ketujuh.

Skrip sama berulang pada minit ke-21 apabila kelalaian pertahanan JDT membolehkan Heberty De Andrade melorongkan bola kepada Theerathon sebelum dia melakukan hantaran leret kepada Tristan Do yang menunggu di hadapan gawang untuk gol kedua pelawat.

JDT terus dirundung malang apabila pertahanan importnya, Bruno Soares mengasari Teerasil Dangda dalam kotak penalti pada minit ke-27 dan pengadil, Aziz Asimov dari Uzbekistan tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Heberty untuk Muangthong selesa berkelebihan tiga gol selepas 45 minit.

Babak kedua bersambung, kesilapan Bruno sekali lagi mengundang padah apabila hantaran tingginya dipintas pemain Muangthong sebelum Heberty melorongkan bola kepada Theerathon yang kemudiannya melakukan percubaan leret tetapi cukup untuk menewaskan Izham Tarmizi Roslan buat kali keempat pada minit ke-56.

Skuad ‘The Kirins’ itu terus mengganas apabila menyumbat gol kelima enam minit berselang, kali ini menerusi sepakan percuma Heberty yang diperolehi hasil kekasaran Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham sebelum Jorge Pereyra Diaz meledak dua gol sagu hati buat pelawat pada minit ke-92 dan 94.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 11:13 PM