Yusri lega Nik Akif kembali perkuat pasukan. FOTO Fathil Asri
Yusri lega Nik Akif kembali perkuat pasukan. FOTO Fathil Asri
Hasbullah Ibrahim

 

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan Yusri Che Lah akui hanya kemenangan pada aksi terakhir Kumpulan C saingan Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Ahad ini saja mampu merealisasikan impian ke suku akhir.

Bagaimanapun Yusri sedari pasukannya perlu mencipta jaringan melebihi dua gol sambil mengharapkan keputusan perlawanan MIFA dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berakhir dengan keputusan seri.

"Tempoh rehat dua minggu selepas perlawanan terakhir dengan MIFA digunakan sebaik mungkin untuk memperkemaskan jentera serangan pasukan yang dilihat masih buntu dengan hanya satu gol dalam lima perlawanan,” kata Yusri.

"Malah kepulangan semula Nik Akif Syahiran dan Baktiyar (Duyshobekov) diharap berupaya mengimbangi kekuatan lawan yang diketuai Sandro Da Silva, Akhyar Rashid dan Liridon Krasniqi.

"Nik Akif dan Baktiyar akan mengemudi bahagian tengah pasukan untuk menyaingi kekuatan bahagian tengah Kedah yang diketuai Baddrol Bakhtiar."

Mengulas berkenaan kelemahan jentera serangan pasukannya, Yusri berharap Nik Azli dan Cristiano Santos memanfaatkan peluang terhidang untuk mencari gol di awal permainan.

Jurulatih kelahiran Perlis itu bagaimanapun memuji benteng pertahanan diketuai Farisham Ismail dan Cassio de Jesus yang ampuh mengekalkan rekod kebal dengan hanya bolos tiga kali sepanjang lima perlawanan.

"Sekiranya Kelantan layak ke suku akhir ia satu pencapaian terbaik pasukan musim ini walaupun dibarisi pemain muda yang masih cetek pengalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 3:48 PM