PEMAIN JDT Muhammad Safawi Rasid (tengah) di asak pemain Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. FOTO/BERNAMA
PEMAIN JDT Muhammad Safawi Rasid (tengah) di asak pemain Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. FOTO/BERNAMA
Hasbullah Ibrahim

KELANTAN gagal memanfaat kelebihan beraksi di laman sendiri selepas tewas tipis 2-1 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.

Penampilan hampir keseluruhan barisan muka baharu daripada pemain skuad Piala Presiden tidak menjejaskan gerakan awal skuad The Red Warriors (TRW) dikendalikan Fajer Ibrahim.

Malah TRW terlebih dulu membuat percubaan berbahaya dari luar kawasan penalti seawal minit keempat dan keenam menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Mohammad Imran Samso namun diselamatkan penjaga gol pelawat, Mohd Farizal Marlias.

TRW yang menampilkan corak permainan pantas akhirnya mendahului menerusi import dari Lubnan, Mohammad Ghaddar pada minit ke-11 hasil hantaran lintang Nik Akif Syahiran.

TRW sekali lagi hampir mendahului pelawat pada minit ke-16 menerusi percubaan Mohamad Azwan Mohd Aripin.

JDT bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Safiq Rahim minit ke-37 yang menyempurnakan sepakan penalti hasil kesilapan penjaga tuan rumah, Mohammad Fikri Che Soh menjatuhkan S Kunalan dalam kawasan penalti.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama permainan.

Bersambung babak kedua, Fajer membuat pertukaran taktikal dengan menggantikan Kapten TRW, Mohamad Ghaddar dan Mohamad Faris Shah Rosli dengan bekas penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Shafiq Shaharudin dan Mohd Farisham Ismail untuk mengimbangi kekuatan pelawat.

TRW berjaya mencipta deretan peluang menambah gol menerusi percubaan Nik Azli Nik Alias (m-56 dan m-58) namun tersasar.

JDT sebaliknya mendahului tuan rumah menerusi tandukan Ignacio Insa pada minit ke-82 dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 11:45 PM