PEMAIN Terengganu FC II, Bruno Junichi Suzuki Castanheira (kiri) diasak oleh pemain Sarawak ketika melakukan sepakan di gawang gol lawan dalam aksi kumpulan A Piala Cabaran 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Rozainah Zakaria
PEMAIN Terengganu FC II, Bruno Junichi Suzuki Castanheira (kiri) diasak oleh pemain Sarawak ketika melakukan sepakan di gawang gol lawan dalam aksi kumpulan A Piala Cabaran 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Rozainah Zakaria
Faizul Azlan Razak


KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFCII) mara ke separuh akhir Piala Cabaran selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak dalam aksi Kumpulan A di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Sebaik perlawanan bermula, tuan rumah melakukan asakan bertali arus ke kubu pelawat yang hanya turun dengan seorang import di benteng pertahanan, Peter Frank Brown.

Penyerang TFCII, Akanni Sunday Wasiu terlepas dua peluang apabila percubaan pertama minit ke-14 melintasi tiang gol sebelum rembatan deras ditepis penjaga gol, Shaiful Wazizi Mohammad tiga minit selepas itu.

Pada minit ke-18, Shaiful Wazizi sekali lagi bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi menerusi rembatan Mohammad Haidhir Suhaini.

Pelawat yang sesekali menyerang hampir mengejutkan tuan rumah, namun tandukan Abdul Rahim Abdul Razak sempat ditepis penjaga gol, Mohd Shamirza Yusoff pada minit ke-33.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus mengasak kubu pelawat namun rembatan Mohammad Haidhir ditepis keluar Shaiful Wazizi pada minit ke-50.

Usaha tuan rumah untuk mendapatkan gol akhirnya menjelma berpunca rembatan Sebastien Maurice Thuriere dari luar kotak penalti yang terkena kaki Muhamad Sharin Sapien sebelum menerjah jaring mengelirukan Shaiful Wazizi pada minit 51.

Dua minit berselang, Bruno Suzuki hampir menambah gol kedua untuk TFCII, namun rembatannya ditepis Shaiful Wazizi yang bermain cemerlang menyelamatkan cubaan berbahaya tuan rumah.

Pada minit ke-79, Wasiu pula terlepas mencetak nama sebagai penjaring apabila tolakannya terkena tiang tatkala Shaiful Wazizi sudah tertewas dan keputusan kekal hingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 10:41 PM