PEMAIN TFC II, Bruno Junichi Suzuki Castanheira (tengah) diasak pemain UKM FC, Mohamad Harizudin Sulaiman (kanan) dan Syafiq Azri Ahmad Kamal di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah. FOTO/IMRAN MAKHZAN
PEMAIN TFC II, Bruno Junichi Suzuki Castanheira (tengah) diasak pemain UKM FC, Mohamad Harizudin Sulaiman (kanan) dan Syafiq Azri Ahmad Kamal di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah. FOTO/IMRAN MAKHZAN
Faizul Azlan Razak


TERENGGANU FC II (TFCII) menamatkan kemarau kemenangan dengan menewaskan UKM FC 1-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Tuan rumah yang begitu terdesak meraih kemenangan selepas tujuh perlawanan lalu turun dengan misi wajib menang bagi memperbaiki kedudukan di tangga tercorot liga.

Namun, pelawat dilihat memperagakan corak permainan bertahan selepas tuan rumah begitu agresif melakukan asakan ke kubu mereka, namun berjaya dikekang benteng pertahanan UKM FC.

Peluang terbaik TFCII hadir menerusi Akanni Sunday Wasiu, namun penyerang import kelahiran Nigeria gagal menewaskan penjaga gol UKM FC, Nor Haziq Aris pada minit ke-34.

Begitupun, pelawat juga terlepas menjaringkan gol apabila dua peluang yang diperoleh gagal disudahkan Nam Se-in minit 35 dan Redouane Zerzouri minit 37.

Tuan rumah sepatutnya meraih gol pertama mereka, namun Wasiu sekali lagi mempersiakan peluang keemasan di depan gol yang menyaksikan kedua-dua  pasukan melangkah ke bilik persalinan tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, ketua jurulatih TFCII, Mustaffa Kamal Abd Wahab membawa masuk Andrew Jean Baptiste bagi menggantikan Engku Shakir Engku Yacob bagi merpertajamkan jentera serangan.

Hasilnya, pemain import dari Haiti itu menceriakan pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol dengan melakukan sepakan lambung melepasi jangkauan Nor Haziq pada minit ke-60.

Pada minit ke-71, permainan dicemari insiden layangan dua kad merah masing-masing kepada pemain TFCII, Md Hassan Basri dan Aliff Jamaluddin (UKM FC) yang terbabit dalam pergaduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 11:45 PM