PEMAIN Negeri Sembilan, Muhammad Fakrul Aiman Sidid bersaing dengan pemain TFCII,   Akanni Sunday Wasiu (kanan) pada perlawanan Piala Cabaran 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. -Foto HAZREEN MOHAMAD
PEMAIN Negeri Sembilan, Muhammad Fakrul Aiman Sidid bersaing dengan pemain TFCII, Akanni Sunday Wasiu (kanan) pada perlawanan Piala Cabaran 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. -Foto HAZREEN MOHAMAD
Oleh Mohd Amin Jalil


SEREMBAN: Negeri Sembilan memulakan saingan Piala Cabaran 2018 dengan suram apabila tewas tipis 0-1 kepada skuad Liga Perdana, Terengganu FCII (TFCII), dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Mohd Haidhir Suhaini muncul wira skuad pelawat itu menerusi jaringan tunggal pada minit ke-47.

Tuan rumah dilihat buntu untuk menembusi kubu TFCII apabila setiap kali serangan dilakukan oleh jentera depan gagal melepasi benteng pelawat.

Pemain muda yang dipertaruhkan oleh pengendali dari Portugal, Mario Lemos dilihat belum mantap untuk menggalas cabaran pasukan apabila mereka kerap gagal mendapatkan rentak terbaik apabila separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Perancang bahagian tengah, Flavio Beck Junior yang bertindak selaku kapten Negeri Sembilan juga dilihat tidak dapat membantu jentera serangan diketuai Mohd Fakrul Aiman Sidid dan Angel Guirado untuk mendapatkan gol.

Bersambung babak kedua, pelawat pula dilihat bertindak agresif untuk mendapatkan gol dan mereka tidak menunggu lama apabila gerakan satu dua antara Mohd Haidhir Suhaini dan Bruno Suzuki berjaya memecah kebuntuan.

Mohd Haidhir yang melakukan sepakan deras dari sebelah kiri pintu gol berjaya menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Mohd Kaharuddin Abd Rahman, untuk gol pertama TFCII pada minit ke-47.

Jaringan itu menyentap semangat skuad Hobin Jang Hobin dan mereka dilihat melakukan serangan bertali arus ke kubu lawan untuk mendapatkan gol.

Bagaimanpun, usaha Negeri Sembilan tidak kesampaian apabila penjaga gol TFCII, Mohd Suhaimi Husin bertindak cemerlang mempertahankan gawang walaupun kerap menerima asakan.

Usaha pemain tuan rumah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila keputusan 1-0 itu kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 12:27 AM