MOHD FAIZAL BAHAROM
MOHD FAIZAL BAHAROM
Asrol Awang

KUANTAN: Skuad angkat berat Pahang meraih tonik tambahan dengan kehadiran bekas atlet negara, Mohd Faizal Baharom yang dilantik sebagai pengurus pasukan ke Sukan Malaysia (SUKMA), Perak bermula Rabu ini.

Ketika 16 atlet Pahang diletakkan sasaran membawa pulang sembilan pingat, termasuk lima pingat emas, mereka dilihat mampu meraih lebih banyak pingat jika bijak memanfaatkan sepenuhnya pengalaman serta ilmu dimiliki Mohd Faizal.

Presiden Persatuan Angkat Berat Pahang (PABP), Datuk Suhaimi Mohd Yunus mengakui, pengalaman Mohd Faizal juga diyakini memberi lebih motivasi kepada badang Pahang untuk membuktikan negeri itu tidak pernah ketandusan bakat.

“Saya harap semua atlet menimba ilmu dengan Mohd Faizal yang sentiasa bersama pasukan,” katanya.

Suhaimi berkata, selain sasaran lima pingat emas itu, beliau yakin mereka juga akan mampy meraih dua lagi pingat perak serta gangsa.

“Biarpun sasaran ini menyamai pencapaian lima emas di Sarawak dua tahun lalu, kami akui saingan sengit dan terbuka daripada beberapa pasukan.

“Berdasarkan prestasi semasa, saingan atlet Kedah, Terengganu dan Kelantan memang kuat, tetapi ia bergantung kepada kategori yang disertai.

“Jadi, PABP mengharapkan 16 atlet, masing-masing 12 lelaki dan empat wanita mampu mencapai sasaran itu,” katanya, hari ini.

Pada temasya SUKMA Sarawak 2016, skuad badang Pahang meraih lima emas, empat perak dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 1:16 PM