HENDERSON (kanan) akui sukar kuasai bahagian tengah ketika bertemu Sepanyol. -Foto fai
HENDERSON (kanan) akui sukar kuasai bahagian tengah ketika bertemu Sepanyol. -Foto fai
Agensi

LONDON: Jordan Henderson mengakui dia bergelut untuk menguasai bahagian tengah ketika England berdepan kawalan serta penguasaan bola yang cukup mantap oleh pemain Sepanyol, dalam pertembungan Liga Negara-Negara Eropah.

Berdasarkan sistem yang dipraktikkan pengurus, Gareth Southgate ketika Piala Dunia, Henderson adalah pemain tengah bertahan tunggal yang membantu pertahanan, manakala Jesse Lingard dan Dele Alli lebih banyak membantu dua penyerang.

England kalah kepada Croatia dalam saingan separuh akhir Piala Dunia, dan badi kekalahan itu berterusan sehinggalah aksi di Wembley, pada Sabtu lalu.

“Ia memang sukar,” kata Henderson yang mengutip kad kuning sebelum digantikan dengan Eric Dier di babak kedua.

“Kami cuba untuk memberi tekanan di padang dan kadang kala ia tidak menjadi. Kami berjaya menjaringkan gol yang menarik tetapi kalah selepas itu dan ia menyebabkan kami cukup kecewa.

“Kami berdepan kesukaran menjana bahagian tengah kerana terlalu ramai pemain di kawasan itu. Apabila kami cuba masuk, tiga pemain lawan sudah menanti dan mengawal pergerakan.

“Tetapi di babak kedua, kami beraksi lebih baik. Kami mencipta lebih banyak peluang,” katanya yang juga kapten Liverpool.

Henderson yakin ujian yang ditempuh ketika bersama skuad England akan memberi kelebihan pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk mengharungi ujian Liga Juara-Juara.

Liverpool akan berdepan Paris Saint-Germain (PSG), manakala Manchester United bertemu Juventus dan Tottenham bakal melayan Barcelona.

Katanya; “Berdepan pasukan yang menakjubkan, penuh dengan pemain hebat, anda akan belajar banyak perkara. Ia ada ujian besar untuk kami dan kami mahu menggunakannya untuk meningkat ke tahap lebih baik,”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 11:51 AM