CHENG Hoe perlu kerja keras bukti kemampuan. FOTO/FAIL
CHENG Hoe perlu kerja keras bukti kemampuan. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor 


MASIH banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam skuad kebangsaan jika mahu melangkah jauh dalam Kejohanan Piala AFF yang bermula November ini.

Kekalahan 0-2 kepada Taiwan dalam aksi persahabatan di Taipei City, sebentar tadi membuktikan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe perlu bekerja lebih keras untuk membentuk skuad mantap dalam masa yang masih berbaki kira-kira dua bulan lagi sebelum kejohanan bermula.

Biarpun tewas, keputusan itu mungkin memberi impak yang diharapkan bekas pengendali Kedah itu untuk mengenalpasti segala kelemahan yang masih membelenggu skuad Harimau Malaya.

Namun, Cheng Hoe pasti sedikit kecewa apabila tidak dapat melihat prestasi sebenar anak buahnya berikutan beraksi di atas permukaan padang yang teruk akibat hujan sebelum perlawanan.

Kedua-dua pasukan tampak bergelut untuk mengatur gerakan yang lebih mantap apabila bola sering tersangkut dalam takungan air.

Bagaimanapun, Taiwan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi Wu Chun Ching selepas pemain itu bijak menolak masuk bola ke dalam gawang ketika berlaku kelam kabut di depan pintu gol Harimau Malaya.

Chu En-Le kemudian menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-53 selepas menyudahkan hantaran daripada Li Mao.

Percubaan terbaik Harimau Malaya hanya hadir pada minit ke-64 menerusi rembatan leret Akhyar Rashid yang sekadar singgah di tiang gol Taiwan.

Ia adalah kekalahan kedua yang dialami Cheng Hoe selepas mengendalikan lima perlawanan Harimau Malaya sejak dilantik sebagai pengganti Nelo Vingada, Disember lalu.

Anak buah Cheng Hoe seterusnya akan terbang ke Phnom Penh bagi mengharungi satu lagi aksi persahabatan antarabangsa berdepan Kemboja, Isnin ini.

Selepas itu, Harimau Malaya juga bakal mengharungi tiga lagi aksi persahabatan berdepan Sri Lanka dan Kyrgyzstan pada 12 dan 16 Oktober ini sebelum menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 10:18 PM