DHAARMA puji anak buah beraksi pantas di Sukan Asia. FOTO/FAIL
DHAARMA puji anak buah beraksi pantas di Sukan Asia. FOTO/FAIL
Naqib Nor Said


SKUAD hoki wanita negara memiliki masa depan yang cerah untuk bergelar pasukan nombor satu Asia dalam tempoh empat tahun akan datang di sebalik kegagalan memenuhi sasaran pingat di Sukan Asia 2018.

Jangkaan skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah itu tersingkir awal tanpa melawan, ternyata meleset apabila mereka hanya dinafikan tiket ke separuh akhir menerusi perbezaan gol selepas terikat tujuh mata dengan China yang meneruskan kemaraan bersama Jepun.

Sekalipun gagal, barisan pemain Malaysian Tigress wajar mendapat pujian kerana menampilkan persembahan pantas dan meyakinkan sepanjang empat aksi Kumpulan A.

Cuma, faktor kurangnya pendedahan berdepan pasukan utama dunia menyebabkan mereka kini terus dipisahkan oleh kuasa besar Asia seperti Jepun, India, Korea Selatan dan China.

Justeru, Dhaarma percaya dengan program yang lebih berkesan tidak mustahil Malaysia mampu memenangi pingat emas apabila Hangzhou, China menjadi tuan rumah temasya berkenaan empat tahun lagi.

"Saya akan bertemu Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) minggu depan, dan pada pertemuan itu saya merancang untuk merayu bagi mendapatkan program lebih berkesan dalam memenangi emas Sukan Asia empat tahun akan datang.

"Saya lebih suka diletakkan sasaran sebegitu. Saya berkhidmat sebagai jurulatih bukan kerana kejar wang ringgit tapi sebenarnya saya mempunyai impian untuk memenangi emas Sukan Asia, Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

"Untuk menjuarai Piala Dunia dan Sukan Olimpik adalah mustahil, tetapi tidak untuk Sukan Asia, saya yakin anak didik saya mempunyai kemampuan untuk mencapainya empat tahun lagi.

"Tetapi untuk memenuhi matlamat itu, pasukan saya perlukan lebih banyak aksi menentang pasukan dalam kelompok ranking enam terbaik dunia. Sekiranya dibelasah sekalipun saya tidak kisah, asalkan pemain saya dapat belajar dan meningkatkan permainan," katanya.

Sebagai contoh, Dhaarma berkata Projek 2013 ketika di bawah kendaliannya dulu banyak mengadakan aksi persahabatan berdepan pasukan utama dunia dalam perjalanan mereka menjuarai Piala Remaja Asia 2012 dan meraih tempat keempat Piala Remaja Dunia 2013.

"Ada yang memberi pendapat sebagai pasukan di ranking ke-22 dunia, lebih baik pasukan saya berdepan pasukan antara ranking 10 hingga 20 dunia, tetapi itu akan melambatkan proses perkembangan pasukan.

"Sebolehnya, saya berharap MHC tidak lagi menerima tawaran beraksi dengan pasukan akademi, kelab ataupun pasukan negara yang rankingnya berada di bawah kita."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 6:56 PM