JURGEN Klopp tidak gembira dengan kata-kata Simon Mignolet. Foto GETTY IMAGES
JURGEN Klopp tidak gembira dengan kata-kata Simon Mignolet. Foto GETTY IMAGES
AFP

JURGEN Klopp meminta penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet untuk berhenti mengeluh secara terbuka mengenai peranannya sebagai pengganti kepada Alisson Becker.

Mignolet lebih banyak memanaskan bangku simpanan sejak musim lalu selepas kehilangan tempatnya kepada Loris Karius.

Selepas mengalami mimpi buruk di final Liga Juara-Juara musim lalu, Karius dipinjamkan kepada Besiktas apabila tempatnya digantikan Alisson yang baru ditandatangani musim ini.

Namun, Mignolet tidak mendapat tempatnya semula dalam kesebelasan utama.

Ia menyebabkan bintang Belgium itu berdepan satu lagi kempen sebagai pilihan kedua dan memaksanya meluahkan isi hati dalam dalam satu temubual, di mana dia berkata, masih ingin bermain dan tidak tahu bagaimana perjalanan masa depannya.

Bos Liverpool, Klopp memahami kekecewaannya, tetapi mengakui kecewa apabila Mignolet tidak berjumpanya terlebih dahulu sebelum mengadu kepada media.

“Memang benar dia tidak akan dilepaskan, sudah pasti tidak,” kata Klopp kepada pemberita, hari ini.

“Secara umumnya, membincangkan masalah peribadi anda di khalayak ramai tidak masuk akal, lebih baik untuk bercakap antara satu sama lain, saya seorang yang boleh dipercayai. Tapi ia masih OK.

“Kami semua manusia dan saya tiada masalah dengan perkara itu. Jika dia gembira menjadi nombor dua, maka saya tidak benar-benar mengenalinya.

“Dia seorang yang sangat profesional, penjaga gawang terbaik dan sudah tentu dia tidak gembira untuk menjadi pemain nombor dua.

“Pada saat pertama anda memahami keputusan, atau tidak, tapi ia sentiasa lebih baik bercakap terus kepada saya mengenainya berbanding kepada akhbar.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 1:00 AM