ADAM NORRODIN
ADAM NORRODIN
Daripada Sukhairi Thani di Silverstone dan London

SILVERSTONE: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin jelas bijak mengawal situasi apabila berjaya menempah petak ke-15 untuk perlumbaan Grand Prix (GP) British, esok meskipun masih ‘terkejut’ dengan keputusan peralihan ke Kejuaraan Remaja Motosikal Sepanyol (CEV) bagi musim depan.

Adam yang bersama PETRONAS Sprinta Racing ketika ini, bakal menyertai kelas Moto2 di CEV tahun depan selepas memulakan kariernya di Moto3 sejak 2016.

“Sesi kelayakan yang baik untuk saya. Keadaan agak susah sedikit kerana hujan pada pertengahan sesi,” katanya yang percaya dengan keputusan dilakukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) meletakkannya ke CEV adalah sebagai persediaan awal untuk mengenali jentera lebih berkuasa, Moto2.

“Semestinya bagi saya Datuk Razlan (Razali) mempunyai alasan tersendiri untuk saya ke CEV Moto2. Saya tak tahu nak kata apa, turun ataupun naik pangkat kerana saya melompat ke cc yang besar - 600cc - dan saya yakin ada sebabnya.

“Datuk juga ada memberitahu yang saya akan diberikan tiket wild card di Kejuaraan Dunia tahun depan. Sekiranya saya dapat tingkatkan prestasi di CEV, sudah pasti ada perancangan untuk ke Kejuaraan Dunia.

“Sudah tentu pada mulanya saya terkejut sebab tak tahu perancangannya namun saya percaya Datuk Razlan ada perancangan dan rasanya sudah sampai waktunya untuk saya belajar kelas baharu Moto2,” kata Adam.

Tempat yang bakal dikosongkan Adam musim depan diganti pelumba Scotland, John McPhee manakala rakan sepasukannya ketika ini, Ayumu Sasaki kekal bersama pasukan yang bakal menggunakan nama baharu PETRONAS Sepang Racing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 11:54 PM