PEMAIN Kuala Lumpur, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak (kanan) diasak oleh pemain Perak, Leandro Dos Santos Oliveira (kiri) pada Perlawanan Piala Malaysia di Stadium Kuala Lumpur. FOTO Bernama
PEMAIN Kuala Lumpur, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak (kanan) diasak oleh pemain Perak, Leandro Dos Santos Oliveira (kiri) pada Perlawanan Piala Malaysia di Stadium Kuala Lumpur. FOTO Bernama
Syafiq Aznan

 

JUARA tujuh kali, Perak menyalakan kembali impian memburu trofi Piala Malaysia buat kali kelapan apabila menundukkan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi ketiga Kumpulan A di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, hari ini.

Gol pada setiap babak itu sudah tentu melegakan pengendalinya, Mehmet Durakovic susulan  kegagalan mereka meraih kemenangan dalam dua perlawanan pertama yang menyaksikan mereka diikat tanpa jaringan oleh FELCRA FC sebelum tumbang 4-3 di tangan Terengganu.

Kemenangan itu membolehkan skuad The Bos Gaurus melonjak ke tangga kedua Kumpulan A dengan empat mata dan berkelebihan satu mata mengatasi Kuala Lumpur di tangga ketiga namun masih ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Terengganu.

Pada aksi terbabit, Perak tampak lebih menguasai permainan apabila beroleh peluang keemasan seawal minit kedua menerusi Brendan Gan namun dia tidak bernasib baik selepas percubaan satu lawan satunya ditepis Sharbinee Alawee sebelum tendangan susulannya sekadar singgah di palang.

Perak terus mengasak namun bekas penjaga gol kebangsaan itu sekali lagi mengecewakan Perak apabila bertindak cemerlang menepis tandukan Gilmar pada minit ke-10.

Bagaimanapun, berpunca daripada sepakan sudut, Jad Nouredinne yang tidak dikawal melepaskan satu rembatan voli dan kali ini, Sharbinee tidak terdaya untuk menyelamatkan percubaan itu sekali gus membolehkan pelawat mendahului pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, Perak terus memburu gol tambahan dengan meneruskan rentak untuk menyerang dan gerakan mereka berjaya menghasilkan peluang untuk mendapatkan gol kedua namun Gilmar gagal memanfaatkan peluang terbuka di hadapan pintu gol tuan rumah pada minit ke-57.

Gerakan lincah Norhakim Hassan yang kerap kali mendatangkan masalah kepada barisan pertahanan Kuala Lumpur terpaksa disekat dengan cara kasar dan tindakan pertahanan Kuala Lumpur menjatuhkan pemain itu mengundang padah apabila Perak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-62.

Gilmar tidak panik meskipun sepakan penaltinya diselamatkan Sharbinee apabila pantas menyambar bola muntah yang ditepis Sharbinee dan percubaan susulannya berjaya menerjah jaring untuk membantu Perak selesa berkelebihan dengan dua gol. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 11:54 PM