PEMAIN Kuala Lumpur, Achmad Jufriyanto (tengah) diasak pemain Melaka, Yahor Zubovich (kiri) ketika aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Eizairi Shamsudin
PEMAIN Kuala Lumpur, Achmad Jufriyanto (tengah) diasak pemain Melaka, Yahor Zubovich (kiri) ketika aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Eizairi Shamsudin
Syafiq Aznan

 

MELAKA United (MU) menyekat Kuala Lumpur (KL) daripada memperagakan ‘kebangkitan ala Istanbul’ dan menjadikan mereka mangsa kedua menerusi kemenangan dramatik 4-3 pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, sebentar tadi.

 

Selepas gah mengejutkan Kedah 2–0 di Stadium Darul Aman pada Jumaat lalu, anak buah E Elavarasan itu terus bernafsu mencipta kemenangan kedua berturut-turut meskipun mensia-siakan kelebihan tiga gol apabila membenarkan lawan bangkit untuk menyamakan kedudukan selepas selesa mendahului 3-0 hanya dalam tempoh 35 minit perlawanan.

 

Apapun, skuad Hang Tuah itu muncul sebagai pasukan kedua yang berjaya meraih mata penuh bertemu KL di gelanggang ‘berhantu’ itu selepas Selangor - satu pencapaian yang gagal dilakukan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, Kedah dan juga PKNS FC pada musim ini.

 

Pada aksi terbabit, Sharbinee Allawee sekali lagi diberi kepercayaan selepas beraksi cemerlang ketika bertemu Terengganu minggu lalu.

Namun dia tewas seawal minit kelima menerusi tandukan penyerang prolifik pelawat, Yahir Zubovich yang menyudahkan hantaran lintang Mohd Faris Shah daripada sebelah sayap kanan.

 

Penguasaan bola dilihat memihak kepada KL, namun mereka gagal memecah benteng pertahanan MU apabila mereka sekadar dapat melakukan dua percubaan jauh sepanjang babak pertama namun masih belum cukup menggugat Khairul Fahmi Che Mat.

 

Sebaliknya, serangan balas pantas pelawat pada minit ke-22 berjaya menghadiahkan gol kedua menerusi Syahrul Azwari Ibrahim untuk gol pertamanya dalam kancah Liga Malaysia sejak kali terakhir mencetak nama selaku penjaring pada Mei 2017.

 

MU bagaikan ‘dirasuk’ apabila pemain baharu, Ifedayo Olusegun berjaya membuka akaun golnya selepas memanfaatkan situasi satu lawan satu hasil satu lagi serangan balas pantas pada minit ke-33 untuk pelawat selesa berkelebihan tiga gol.

 

Bagaimanapun, kealpaan pelawat di penghujung separuh masa pertama dihukum tuan rumah dengan Paulo Josue mengurangkan defisit gol apabila memanfaatkan hantaran Syazwan Andik sekali gus menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-42.

 

Belum sempat MU kembali ‘panas’ pada babak kedua, mereka tersentak apabila tuan rumah sekali lagi mengurangkan defisit menerusi Guilherme de Paula yang melonjak tinggi menanduk masuk hantaran lintang Firdaus Faudzi hanya tiga minit selepas separuh masa kedua bersambung.

 

Kebangkitan KL dilengkapkan selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan Khair Jones dan de Paula menyempurnakannya dengan satu rembatan kencang untuk mengikat kedudukan pada minit ke-70.

 

Namun, Ifedayo membuktikan keputusan MU untuk menandatanganinya adalah tepat selepas bekas penggempur FELDA United itu menampan masuk gol kemenangan pasukan ketika perlawanan berbaki 15 minit untuk meleburkan hasrat tuan rumah meraih sekurang kurangnya satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 12:28 AM