Pemain PKNS FC Mahalli Jasuli cuba mengawal bola dari pemain Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Pemain PKNS FC Mahalli Jasuli cuba mengawal bola dari pemain Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Syafiq Aznan

 

SHAH ALAM: PKNS FC berjaya melunaskan ‘hutang’ ke atas Kuala Lumpur selepas membenam cabaran lawan itu 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Anak buah Datuk  K Rajagobal itu tumbang 2-1 di tangan Kuala Lumpur di Cheras sebelum ini namun aksi lebih kemas dan dua sepakan penalti membantu mereka membalas dendam sekali gus mengutip mata penuh untuk merapatkan jurang dengan kelompok atasan liga.

Kuala Lumpur yang sebelum ini bergelar ‘pembunuh gergasi’ apabila berjaya mengaibkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga Kedah sekali lagi dihantui aksi ‘yo-yo’ dan terpaksa akur dengan kekalahan yang menyaksikan mereka kekal menghuni kelompok pertengahan liga.

Pada aksi terbabit, Kuala Lumpur bermula garang apabila mendahului seawal minit keempat apabila pertahanannya, Bobirjon Akbarov menyambar sepakan percuma Paulo Josue dan membenam bola ke dalam gawang gol PKNS FC untuk gol pembukaan perlawanan.

Pelawat terus mengasak dan beroleh peluang untuk melebarkan jurang dua minit berselang menerusi penyerang veteran, Indra Putra Mahayuddin namun percubaan lambungnya gagal menepati sasaran ketika penjaga gol PKNS FC, Mohd Shahril Saari sudahpun tertewas.

PKNS FC kembali dalam permainan apabila berjaya mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ketujuh selepas Faris Ramli dijatuhkan dan penyerang kebangsaan, Safee Sali tidak berdepan masalah untuk menewaskan Ahmad Solehin Mamat.

Kegagalan pemain Kuala Lumpur, Zhafri Yahya menyudahkan peluang terhidang untuk meletakkan Kuala Lumpur kembali di hadapan pada minit ke-36 dilihat mengundang padah apabila sebaliknya, PKNS beroleh gol kedua menerusi gerakan solo Faris Ramli yang disudahkan dengan kemas menewaskan Solehin seminit selepas itu.

Babak kedua bersambung, hasrat Kuala Lumpur untuk bangkit memburu gol penyamaan kian sukar apabila PKNS FC sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-49 apabila bola terkena tangan Achmad Jufriyanto dan Jonatan Leonel Costa mudah menyempurnakan sepakan penalti itu untuk gol ketiga tuan rumah.

Berkelebihan dua gol, PKNS FC terus bernafsu untuk menambah gol dan seharusnya beroleh gol keempat namun percubaan Daniel Ting dalam situasi satu lawan satu sekadar tersasar pada minit ke-61.

Gol lewat permainan dijaringkan Guilherme de Paula pada minit pertama masa tambahan lebih kepada sekadar gol sagu hati dengan PKNS FC berjaya mengekalkan kelebihan satu gol sehingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 11:13 PM