PIQUE (kiri) risau dengan kelonggaran pertahanan Barca. -Foto REUTERS
PIQUE (kiri) risau dengan kelonggaran pertahanan Barca. -Foto REUTERS
Reuters

BARCELONA: Pertahanan Barcelona, Gerard Pique mengakui kelemahan bahagian pertahanan selepas pendahulu La Liga dikejutkan 4-3 tewas kepada Real Betis di laman sendiri, melepaskan empat gol di Nou Camp buat kali pertama dalam tempoh lebih 15 tahun.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu menggesa semua pemain pertahanan perlu meningkatkan prestasi namun menegaskan penyokong mereka tidak perlu bimbang dengan situasi yang melanda.

Barca ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama dan dua jaringan Lionel Messi yang kembali dari kecederaan tidak mencukupi manakala Arturo Vidal turut meledak jaringan untuk kelab Catalan itu.

Betis muncul pasukan pertama menewaskan Barca di Nou Camp sejak Alaves melakukannya pada September 2016.

“Kami sedar mempunyai masalah apabila melepaskan banyak gol, sudah lama tidak bolos dengan jumlah jaringan besar seperti itu,” katanya.

“Kita tidak akan menjadi pasukan paling kurang dibolosi dengan falsafah menyerang yang diamalkan namun kami sedar perlu membaikinya.”

Walaupun tewas Barca masih mendahului liga dan satu mata mengatasi Atletico Madrid, Alaves dan Sevilla. Barca melepaskan 18 gol dalam 12 perlawanan liga, lebih banyak berbanding 13 pasukan lain di La Liga.

“Ia bukan masalah individu, ia masalah pasukan. Kami perlu fokus dan berusaha bersama,” kata Pique.

“Ia perkara asas yang kami sedar dan sudah berbincang mengenainya. Kami berdepan dengan pasukan yang sangat agresif menyerang kali ini dan kami perlu mengambil risiko.”

Barca sudah melepaskan mata dalam lima daripada 12 perlawanan musim ini, empat kali menentang pasukan bahagian bawah liga namun Pique menegaskan penyokong tidak perlu bimbang dengan persembahan pasukan.

“Adalah benar kami sukar untuk menewaskan pasukan lebih kerdil namun saya fikir ia sesuatu yang kadang-kala berlaku dan tidak terjadi sepanjang musim,” tambahnya.

“Penyokong kami boleh bertenang, kami di kedudukan teratas liga. Tahap pasukan pencabar sudah meningkat musim ini, anda tidak lagi boleh menang liga dengan meraih 100 mata.

“Pasukan lawan mempunyai peruntukan yang lebih besar, pemain lebih baik dan kompetitif dan ia lebih bagus untuk penonton.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 11:18 AM