MESSI (kiri) mengatur strategi bersama Suaraz ketika mengambil sepakan percuma. FOTO/AFP
MESSI (kiri) mengatur strategi bersama Suaraz ketika mengambil sepakan percuma. FOTO/AFP
Reuters

BARCELONA: Rakan sepasukan Lionel Messi dari Barcelona dan jurulatihnya Ernesto Valverde melaungkan pujian buat pemain Argentina itu yang menyempurnakan sepakan percuma dengan melakukan tendangan rendah melepasi benteng lawan ketika mereka membelasah Girona 6-1 awal pagi tadi.

Terdahulu, Messi membolehkan Barcelona mendahului 2-1 selepas menggelecek lawan untuk jaringan ke gawang namun dia menggunakan kepintarannya untuk gol ketiga mereka, dengan sepakan rendah yang ternyata mengejutkan penjaga gol pasukan pelawat Bono.

Barca sudah terbiasa dengan rekod jaringan Messi daripada sepakan percuma namun dia tidak pernah menjaringkannya menerusi sepakan rendah ketika berdepan tembok pertahanan.

“Dia mengelirukan kami dengan jaringannya, ternyata dia memang menakjubkan dan permainannya semakin baik,” kata pemain tengah Philippe Coutinho.

MESSI (kanan) ketika menggelecek lawan. FOTO/AFP
MESSI (kanan) ketika menggelecek lawan. FOTO/AFP

Coutinho yang turut menguasai sepakan percuma seperti itu ketika beraksi dengan Liverpool, meledak gol liga pertamanya bersama Barca pada separuh masa kedua sementara Luis Suarez merekodkan hatrik.

Bagaimanapun Messi terus menerima pujian menerusi aksi serangan menakjubkan dan mengagumkan rakan sepasukan menerusi jaringan set-piece.

“Sukar untuk membiasakan diri dengan perkara ini. Anda fikir dia sudah melakukan segala-galanya dan kemudiannya dia terus memberi kejutan kepada anda,” kata jurulatihnya Valverde.

“Kami menunggu untuk melihat bagaimana dia mampu melepasi benteng itu dan kemudian dia melakukan sepakan rendah di bawah mereka. Apabila anda melihatnya, anda pasti terfikir ‘sudah pasti begitu’. Leo menjadikannya mudah tetapi sebenarnya tidak begitu,

Pemain tengah Barca Sergio Busquets berkata: “Dia sentiasa melakukan sesuatu yang berbeza dan itu yang menjadikannya pemain terbaik di dunia dan terbaik dalam sejarah bola sepak.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 8:53 AM