PEMAIN  Real Madrid, Raphael Varane (kanan) diasak pemain Barca, Ivan Rakitic. FOTO Reuters
PEMAIN Real Madrid, Raphael Varane (kanan) diasak pemain Barca, Ivan Rakitic. FOTO Reuters
Reuters

Madrid: Harapan Real Madrid untuk mempertahankan gelaran La Liga semakin pudar apabila gol-gol jaringan Luis Suarez, Lionel Messi dan Aleix Vidal memberikan kemenangan 3-0 buat Barcelona dalam pertembungan Clasico semalam, melebarkan jurang 14 mata ke atas pesaingnya itu.

Suarez memanfaatkan ruang terbuka di bahagian tengah Madrid untuk menyempurnakan hantaran Sergi Roberto pada minit ke-54 aksi di Santiago Bernabeu.

Messi meledak gol kedua dari titik penalti 20 minit kemudian selepas Dani Carvajal dibuang padang kerana menahan bola tandukan Paulinho dengan tangannya ketika Real sekali lagi mudah ditembusi menerusi serangan balas.

Pertahanan Catalan yang kini menjadi pemain sayap, Vidal melengkapkan kemenangan buat pendahulu La Liga itu dalam masa kecederaan, menambah derita Madrid yang ketika Piala Super Sepanyol Ogos lalu membelasah Barca 5-1 secara agregat.

Real gagal memanfaatkan peluang terhidang di babak pertama dengan tandukan Karim Benzema sekadar melepasi palang dan percubaan Cristiano Ronaldo diselamatkan penjaga gol Marc-Andre ter Stegen.

Barca kini sembilan mata mengatasi pesaing terdekat Atletico Madrid manakala Real 14 mata di belakang pendahulu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 6:08 AM