INI penampilan kedua Joo Ven mewakili negara ke Piala Thomas. -Foto fail
INI penampilan kedua Joo Ven mewakili negara ke Piala Thomas. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven mengakui usaha keras dan kekal konsisten adalah kunci utama mengapa dia terpilih berada dalam skuad Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Thomas) yang berlangsung dari 6 hingga 11 Februari di Alor Setar.

Menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, dia gembira kerana menjadi sebahagian daripada pasukan dan kali kedua menganggotai skuad kelayakan Piala Thomas selepas penampilan sulung di Hyderabad dua tahun lalu.

“Saya gembira kerana menjadi sebahagian daripada pasukan dan paling penting ialah saya mahu menghadiahkan mata buat Malaysia apabila berada di dalam gelanggang,” katanya yang turut membantu Malaysia meraih pingat perak berpasukan lelaki di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Menurutnya, pasukan kali ini berbeza berbanding dua tahun lalu kerana ketika itu ramai pemain muda.

“Kali ini kita memang memerlukan pasukan yang mantap untuk melayakkan diri ke Piala Thomas, jadi kali ini lebih mencabar berbanding sebelum ini,” kata Joo Ven.

Selain Joo Ven, turut menggalas cabaran negara di kejohanan berkenaan ialah Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Sementara itu, Joo Ven akan memulakan aksinya untuk musim 2018 dengan menyertai Masters Malaysia yang berlangsung dari 16 hingga 21 Januari ini.

“Saya hanya akan fokus satu demi satu perlawanan dan perlawanan pertama saya di peringkat kelayakan

ialah menentang Kento Momota dari Jepun. Jadi ia satu halangan sukar buat saya,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 6:02 PM