JUN Hao yang muncul sebagai perseorangan ketiga negara akui berada dalam keadaan tertekan. -Foto fail
JUN Hao yang muncul sebagai perseorangan ketiga negara akui berada dalam keadaan tertekan. -Foto fail
Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain


JAKARTA: Tanpa kehadiran bintang badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, tekanan jelas mula dirasai perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dalam menggalas cabaran di Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Jun Hao tanpa berselindung mengakui berada dalam keadaan tertekan kerana akan memainkan watak penentu dalam aksi berpasukan bermula Sabtu ini.

Bagaimanapun Jun Hao yang turun beraksi buat kali pertama berkata, dia sudah melakukan persiapan terbaik untuk beraksi bersama pasukan negara.

Katanya, turun beraksi sebagai perseorangan ketiga sememangnya memberikannya tekanan kerana bakal memainkan peranan penting bagi menentukan masa depan negara di dalam temasya edisi ke-18 itu.

“Memang saya tertekan tetapi saya akan cuba berikan yang terbaik sekiranya turun beraksi.

“Buat masa sekarang persiapan berjalan dengan baik dan saya berharap boleh membantu negara mendapat keputusan baik,” katanya ketika ditemui hari ini.

Acara badminton berpasukan akan membuka tirai Ahad ini dengan China diletakkan sebagai pilihan utama diikuti tuan rumah, Indonesia.

Selain Jun Hao, skuad negara akan diperkuatkan pemain profesional, Liew Daren bersama Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Goh V Shem- Tan Wee Kiong serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 9:51 PM