MISBUN (kanan) mahu pastikan pemain yang mampu pamer aksi terbaik sertai kejohanan antarabangsa. -Foto fail
MISBUN (kanan) mahu pastikan pemain yang mampu pamer aksi terbaik sertai kejohanan antarabangsa. -Foto fail
Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek (gambar) menegaskan hanya pemain yang benar-benar bersedia akan dihantar menyertai kejohanan antarabangsa.

Beliau berkata, keputusan itu bagi memastikan pemain mempamerkan aksi terbaik mereka setiap kali dihantar menyertai kejohanan.

“Tidak guna kita hantar pemain kalau kita rasakan mahu menang pusingan pertama atau kedua pun susah. Jadi, lebih baik dalam tempoh sebulan dua ini mereka terus menjalani latihan untuk perbaiki apa yang sepatutnya.

“Bila mereka benar-benar sudah bersedia baru kita hantar mereka sertai kejohanan. Bila sudah hantar nanti, saya harap mereka boleh tunjukkan kemampuan sebenar,” kata Misbun.

Kecuali Datuk Lee Chong Wei, barisan pemain perseorangan lelaki negara yang lain masih gagal mencetuskan impak positif di pentas antarabangsa.

Misbun ketika ini melatih lapan pemain elit negara iaitu Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven, Lim Chi Wing, Lee Zii Jia, Chong Yee Han, Soo Teck Zhi dan Tan Jia Wei.

Beliau dibantu jurulatih perseorangan lelaki, Indra Wijaya. Dua lagi jurulatih, Hendrawan dan Sairul Amar Ayob melatih pemain - Leong Jun Hao, Sim Fong Hau, Cheam June Wei dan Tan Choong Yen.

Misbun yang kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Julai lalu bagaimanapun, berkata beliau sudah mempunyai perancangan mengenai program latihan dan penyertaan ke kejohanan untuk semua pemain di bawah kendaliannya.

“Saya akan buat perancangan berdasarkan kemampuan pemain untuk program latihan mereka. Perancangan juga berdasarkan kedudukan ranking dunia mereka sebelum dihantar menyertai kejohanan.

“Buat masa sekarang biar mereka menjalani latihan dulu untuk perbaiki prestasi. Mereka tidak perlu bimbang kerana apabila saya merasakan mereka sudah bersedia, mereka tetap akan dihantar menyertai kejohanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 6:44 PM