MISBUN berkata sesuatu kepada Iskandar Zulkarnain pada aksi Piala Thomas 2018 di IMPACT Arena, Bangkok, baru-baru ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
MISBUN berkata sesuatu kepada Iskandar Zulkarnain pada aksi Piala Thomas 2018 di IMPACT Arena, Bangkok, baru-baru ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Fabian Peter


KETUA jurulatih perseorangan lelaki Misbun Sidek, tidak akan menggugurkan mana-mana pemain, biarpun mengakui ada pemain sudah tidak lagi berada pada tahap terbaik mereka.

Komen Misbun itu hadir selepas bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, semalam membayangkan beberapa pemain senior dalam pasukan kebangsaan tidak  mempamerkan sebarang peningkatan dan mungkin akan digugurkan segera.

“Saya bersetuju dengan Chong Wei, beberapa pemain ini agak perlahan daripada aspek peningkatan kualiti sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Namun saya tidak tahu, kerana tiada mesyuarat atau keputusan diambil untuk menggugurkan mana-mana pemain ketika ini.

“Ini mungkin spekulasi daripada Chong Wei berdasarkan pemerhatiannya secara peribadi.

“Jika ada pemain yang digugurkan, saya akan umumkan. Buat masa ini ia tidak berlaku,” kata Misbun yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Misbun yang menyertai skuad kejurulatihan kebangsaan pertengahan tahun lalu, mengakui bahawa pemain seperti bekas juara remaja Asia seperti Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven, Chong Yee Han dan Lim Chi Wing tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

“Mereka menunjukkan sikap yang baik ketika latihan, namun gagal menterjemahkannya kepada keputusan yang diinginkan.

“Sesetengah daripada mereka sudah menyertai skuad BAM untuk tempoh yang panjang, namun mereka gagal memenangi sebarang gelaran.

“Sewaktu saya mengambil alih skuad perseorangan lelaki tahun lalu, adalah menjadi matlamat saya untuk membentuk pemain kurang cemerlang kepada lebih cemerlang, jadi saya tidak putus asa dengan mereka.

“Bagaimanapun mereka tidak menunjukkan sebarang  peningkatan. Pada usia seperti mereka, mereka sepatutnya sering berada dalam kejohanan GP Emas dan Siri Super,” kata Misbun.

Menurut Misbun kelompok pemain sedia ada tidak cukup besar dan pemain ini membantu pemain muda seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Tan Jia Wei, Cheam June Wei dan Sim Fong Hau.

"Kesemua pemain senior ini mempunyai peranan masing-masing. Jika kami gugurkan mereka daripada skuad, dengan siapa pemain muda akan berlatih.

“Mereka tidak boleh berlatih dengan Chong Wei kerana jurangnya terlalu besar dan segelintir daripada mereka tidak boleh menewaskan pemain senior ketika latihan.

“Sudah pastinya mudah untuk bercakap supaya menggugurkan mereka, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah. Kami hanya mempunyai 11 pemain dalam skuad perseorangan lelaki.”

Seorang lagi pemain dalam skuad itu adalah Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 10:32 PM