KUCKA (kiri) jaring gol sendiri.
KUCKA (kiri) jaring gol sendiri.
AFP

Milan: Nikola Ninkovic, Leonardo Pavoletti dan gol sendiri Juraj Kucka menamatkan peluang AC Milan yang beraksi dengan 10 pemain untuk melonjak ke tangga teratas Serie A selepas kecundang 0-3 di tangan Genoa, awal pagi semalam.

Milan berkunjung ke Stadium Luigi Ferraris dengan penuh semangat berikutan kemenangan ke atas Juventus hujung minggu lalu yang membantu merapatkan jurang dengan juara Itali dan pendahulu Serie A itu kepada hanya dua mata.

Namun Genoa menang dua pertemuan terakhir kedua-dua pasukan 1-0 dan akhirnya berhak meraih kemenangan keempat musim ini.

Mereka melonjak ke tangga ketujuh, enam mata di belakang pendahulu manakala Milan kekal di tangga ketiga.

Kecederaan pemain pertahanan memaksa jurulatih Milan, Vincenzo Montella mengubah pemain tengah Andrea Poli sebagai pertahanan kanan, manakala Keisuke Honda beraksi kali pertama musim ini di bahagian tengah.

Genoa hanya memerlukan 11 minit untuk mengatasi Gianluigi Donnarumma. Ninkovic, yang tampil kali pertama bersama kelab itu, pantas menyambar lambungan Tomas Rincon dengan tandukan terbang yang mengatasi penjaga gol remaja Milan itu.

Pertahanan Milan, Alessio Romagnoli menghasilkan peluang terbaik pelawat pada babak pertama apabila rembatannya sedikit tersasar manakala sepakan voli M’Baye Niang daripada umpanan Carlos Bacca melambung tinggi.

Peluang Milan untuk bangkit berkubur 10 minit babak kedua berlangsung apabila Gabriel Paletta melakukan terjahan terhadap Luca Rigoni.

Pertahanan veteran itu tidak dilihat melakukan terjahan keras terhadap penyerang Genoa itu namun pengadil melayangkan kad merah.

Apabila Rigoni merembat leret ke kawasan gol Milan 10 minit sebelum rehat, Kucka tertampan bola melepasi Donnarumma.

Enam minit kemudian, Pavoletti mencetak nama dalam senarai penjaring dengan satu sepakan lencong menarik dari penjuru kotak penalti selepas memperdayakan Romagnoli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:15 AM