PEMAIN Terengganu FC (TFC) meraikan gol yang dijaringkan ketika menentang Kuala Lumpur. Foto NSTP/ASWADI ALIAS
PEMAIN Terengganu FC (TFC) meraikan gol yang dijaringkan ketika menentang Kuala Lumpur. Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Malik Muhamad


PERTAHANAN kental Terengganu FC (TFC), Nasrullah Hanif Johan mengakui puas apabila pasukannya membelasah Kuala Lumpur 5-1 pada aksi Piala Malaysia malam kelmarin sambil bertekad mahu membalas kepercayaan jurulatih dengan aksi lebih meyakinkan bertemu Perak, Sabtu ini.

Bekas pemain DRB Hicom FC berusia 28 tahun itu yang lebih mesra dipanggil Anas juga berazam mahu menutup mulut pengkritik dengan kejayaan lebih bermakna sekali gus dapat meredakan kepanasan susulan kegagalan skuad Penyu menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga terbaik.

“Setiap pemain yang diturunkan pasti mahu memperagakan aksi terbaik termasuk saya. Jika masih diberi kepercayaan bertemu Perak nanti, saya akan terus menyajikan aksi terbaik untuk membantu pasukan mencatat kemenangan kedua.

“Hal ini kerana selain untuk membuktikan corak permainan masih berada pada tahap terbaik, saya juga berazam untuk membantu skuad mara ke suku akhir dan seterusnya ke separuh akhir serta final kerana ini peluang terakhir buat kami untuk merangkul piala berprestij itu selepas gagal dalam saingan Piala FA dan Liga Super,” kata Nasrullah.

Musim ini pemain berasal dari Negeri Sembilan itu yang pernah menyarung jersi kelab Betaria dan MP Muar menjadi watak penting di posisi pertahanan tengah bersama pemain import kelahiran Montenegro, Igor Zonjic selain Kamal Azizi Zabri dan Adib Aizuddin Latif.

Nasrullah mengakui persefahaman dan taktikal tepat menjadi ramuan utama kejayaan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu, namun perjalanan masih berliku untuk mara lebih jauh.

“Selepas tewas 0-2 kepada Selangor dalam aksi terakhir liga di gelanggang sama iaitu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, kami berazam untuk tidak mengulangi kekecewaan kali kedua berturut-turut biarpun sedar kami pernah tewas 0-3 kepada lawan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 1:50 PM