KETANGKASAN Anas (tengah) amat diperlukan dalam memperkasakan pertahanan TFC.
KETANGKASAN Anas (tengah) amat diperlukan dalam memperkasakan pertahanan TFC.
Malik Muhamad

PEMAIN skuad Terengganu FC (TFC), Nasrullah Haniff Johan sedia merampas kembali posisi pertahanan tengah apabila pasukannya membuat perhitungan dengan Petaling Jaya City FC (PJ City) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu ini.

Selain itu, pemain kelahiran Kedah yang dibesarkan di Negeri Sembilan itu juga tidak rela lagi menjadi penonton dan sudah 'insaf' selepas digantung satu perlawanan akibat menerima tiga kad kuning.

"Ya, saya sedia bersaing secara sihat untuk mengambil alih semula posisi pertahanan tengah bertemu pendatang baharu, PJ City kerana impian saya untuk membantu pasukan meneruskan rentak kemenangan.

"Bagaimanapun terpulang kepada perancangan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim membuat keputusan terbaik untuk pasukan kerana yang penting kami perlu mengutip tiga mata.

"Lagipun sudah tentu beliau mempunyai perancangan tersendiri, " kata pemain yang lebih mesra dipanggil Anas yang sebelum ini hanya menyarung jersi tiga kelab iaitu MP Muar, NS Betaria dan DRB Hicom.

Ketika bertemu FELDA United Jumaat lalu yang berkesudahan TFC menang tipis 2-1, pemain yang pernah dilantik sebagai kapten pasukan itu terpaksa menjadi penonton dan tempatnya diganti pemain import dari Kemboja, Thierry Chantha Bin yang beraksi cemerlang.

Mengulas lanjut, pemain berketinggian 1.70 meter itu yang mengidam untuk menyarung jersi skuad kebangsaan berharap pasukannya tidak lagi tercicir mata memandangkan perbezaan dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) agak jauh dengan 14 mata.

"Bagaimanapun, kami tidak mahu cepat mengalah dan putus asa, sebaliknya akan terus berjuang untuk mengumpul seberapa banyak mata. Lagi pun perbezaan dengan pasukan di tangga ketiga hanya empat mata," kata Nasrullah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 12:50 PM