Aksi Nasrullah Hanif Johan (kanan) ketika berdepan JDT dalam saingan Liga M. FOTO NSFC
Aksi Nasrullah Hanif Johan (kanan) ketika berdepan JDT dalam saingan Liga M. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas berjaya memulakan aksi Liga Super musim ini dengan langkah kanan, skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) mahu memastikan mereka dapat meneruskan rentak terbaik itu pada perlawanan berikutnya menentang Selangor FC, pada 5 April ini.

Pertembungan di laman sendiri di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, itu mahu digunakan sebaik mungkin skuad Hobin Jang Hobin untuk mendapatkan tiga mata bagi mengukuhkan dalam carta liga.

Penolong Ketua Pasukan, Nasrullah Hanif Johan berkata, ketika ini pemain fokus kepada pertembungan dengan Selangor yang disifatkan sebagai tugas berat menanti mereka.

Katanya, selain reputasi skuad Merah Kuning itu yang berpengalaman, keputusan seri yang mereka capai ketika menentang Kuala Lumpur City FC pada aksi pertama, sudah pasti boleh memberikan tekanan.

"Kami perlu bersikap berhati-hati apabila berhadapan dengan Selangor kerana mereka bukan calang pasukan.

"Adalah penting bagi kami meningkatkan lagi tahap prestasi dan persembahan, kerana pasukan lawan itu sudah pasti akan berusaha untuk bangkit mendapatkan kemenangan sulung," katanya.

Menurut Nasrullah, dia dan rakan lain sudah bersedia untuk berhadapan dengan skuad terbabit dan mahu memastikan pasukannya mampu melakar kemenangan kedua musim ini.

Jelas, tonggak pertahanan berpengalaman berusia 31 tahun itu, tempoh rehat panjang ternyata memberi ruang kepada beberapa pemain pasukan itu untuk pulih kesan daripada jangkitan pandemik Covid-19 yang dialami.

"Secara peribadi, saya lega dengan perkembangan pasukan ketika ini kerana tugas yang bakal dihadapi dengan Selangor amat mencabar kerana kami sudah lama tidak bertemu mereka.

"Justeru, setiap pemain perlu memberikan komitmen tinggi untuk memastikan kemenangan di laman sendiri dapat dicapai," kata pemain berasal dari Sikamat Seremban.

Nasrullah juga yakin kehadiran semula dua pemain yang mewakili skuad kebangsaan iaitu Ahmad Khuzaimi Piee dan Khair Jones, mampu menyuntik semangat lebih tinggi dalam kalangan rakan sepasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 7:23 PM