JURULATIH Skuad Bawah 23 Tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee ketika sesi latihan bagi persiapan Sukan Asia Indonesia 2018. FOTO Saddam Yusoff
JURULATIH Skuad Bawah 23 Tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee ketika sesi latihan bagi persiapan Sukan Asia Indonesia 2018. FOTO Saddam Yusoff
Aziman Rosdi

 

PENGENDALI skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk memberikan cabaran di Sukan Asia Jakarta-Palembang meskipun tugas mereka semakin berat selepas beliau kehilangan lima pemain termasuk pemain senior Aidil Zafuan Abd Radzak.

Dua pemain Pahang, Matthew Davies dan Nor Azam Azih terus tidak kelihatan pada hari kedua latihan pusat hari ini, manakala Aidil dibenarkan pulang bersama seorang lagi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Syamer Kutty Abba akibat kecederaan.

Hanya 23 pemain akan berangkat ke China bagi persiapan terakhir Khamis ini selepas penyerang JDT II, Hadi Fayyadh Abd Razak terpaksa diketepikan kerana akan mengharungi sesi ujian bersama salah sebuah kelab di Jepun pada 6 Ogos.

Malah Kim Swee tidak bercadang untuk memanggil pemain baru biarpun terpaksa menggunakan hanya dua pemain lebih umur, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali dari Kedah.

“Dua pemain itu (Davies dan Azam) saya anggap tidak hadir dan kita tidak mempunyai masa untuk memikirkan tentang pemain-pemain yang tidak hadir.

“Buat masa ini tiada pemain yang saya akan gantikan di mana kita mempunyai masa yang cukup singkat.

“Kemungkinan besar saya akan membawa dua pemain lebih umur dan yang lain saya terpaksa tinggalkan oleh kerana masalah kecederaan di mana kita tahu hanya 30 pemain terakhir yang saya daftarkan boleh diganti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Dalam saingan Sukan Asia yang bakal bermula 10 Ogos ini,  skuad negara diundi menentang juara bertahan Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Kyrgyzstan dalam Kumpulan E.

Dengan pelbagai masalah menghimpit pasukannya, Kim Swee kekal optimis untuk mereka mencapai misi sekurang-kurangnya layak ke suku akhir selepas terkandas di Incheon, Korea Selatan empat tahun lalu.

“Kita masih lagi mempunyai barisan pemain yang mencukupi dan memiliki kualiti untuk mengambil slot yang ditinggalkan. Jadi saya berharap dengan barisan pemain yang sedia ada ini mampu menggalas segala cabaran ke Sukan Asia nanti,” jelasnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 7:47 PM