PENYERANG import Pahang, Mohamadou Sumareh(kiri)  diasak pertahanan Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV. FOTO Fathil Asri
PENYERANG import Pahang, Mohamadou Sumareh(kiri) diasak pertahanan Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV. FOTO Fathil Asri
Attirmidzie Rahman


PENYERANG import Pahang, Mohamadou Sumareh, menyatakan kesediaannya untuk menyarung jersi Malaysia apabila sudah mendapat 'lampu hijau' daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemain kelahiran Gambia itu turut memaklumkan sudah mendapat kerakyatan Malaysia dan kini hanya menunggu masa untuk dipanggil bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

"Itu perkara baik dan kerana pihak FAM sudah memberi lampu hijau untuk saya menyertai pasukan negara, saya sudah bersedia.

"Apabila dapat tahu perkara ini saya amat gembira kerana ini peluang terbaik untuk membantu Malaysia namun masih tunggu dan lihat bagaimana keputusan pihak kejurulatihan pasukan negara.

"Saya juga sudah memiliki kad pengenalan warganegara jadi segala keputusan lanjut hanya terserah mereka (skuad kebangsaan). Tetapi jika ditanya, saya akan menjawab sudah bersedia," katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, FAM memberi kelulusan terhadap pemain import berusia 23 tahun itu bagi menyertai pasukan kebangsaan di bawah pengendali Tan Cheng Hoe.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan berdasarkan prosedur ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pemain yang sudah menetap lebih lima tahun dan memegang pasport antarabangsa sesebuah negara boleh menyertai pasukan kebangsaan negara terbabit.

Sementara itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh ketika mengulas mengenainya berkata beliau secara peribadi menyokong penuh jika tonggak utamanya itu beraksi bersama pasukan kebangsaan.

"Itu yang kita harapkan. Dia (Sumareh) sendiri sudah tidak sabar menunggu untuk bermain dengan skuad negara.

"Secara peribadi saya menyambut baik serta berharap benda itu berlaku dan saya rasa berkemungkinan besar berlaku kerana ia dapat membantu memperkuatkan skuad negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 6:38 PM