PASUKAN Malaysia menjalani latihan di Stadium Hang Tuah bagi persiapan menghadapi perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Kyrgyzstan yang akan diadakan di Stadium Hang Jebat pada 16 Oktober ini. FOTO Rasul Azli Samad
PASUKAN Malaysia menjalani latihan di Stadium Hang Tuah bagi persiapan menghadapi perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Kyrgyzstan yang akan diadakan di Stadium Hang Jebat pada 16 Oktober ini. FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Tiada kelibat pemain naturalisasi asing pertama negara, Mohamadou Sumareh ketika sesi latihan di Stadium Hang Tuah, petang tadi.

Ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berkata, pihak pengurusan masih lagi berurusan dengan Persatuan Bolasepak Pahang mengenai pelepasan pemain kelahiran Gambia itu untuk mengikuti sesi latihan dan menyertai perlawanan persahabatan berdepan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober dan Kyrgyzstan 16 Oktober ini.

Beliau juga berharap Sumareh akan menyertai skuad kebangsaan sekali gus memperkuatkan jentera pasukan dan bakal digandingkan dengan pemain tempatan lain yang terpilih.

"Dia mampu memperkasakan pasukan ini melalui pengalamannya. Saya akan meletakkan dia di posisi kebiasaan sebelum ini dalam pasukan yang diwakili (Pahang).

"Namun, mungkin ada perubahan posisi buatnya berdasarkan latihan kelak. Gandingannya bersama pemain tempatan termasuk pemain muda diyakini mampu menyerlah,"katanya.

Penampilan Sumareh, 23, nyata dinanti penuh debar buat peminat, tambahan pemain itu memiliki keistimewaan tersendiri termasuk kekuatan mental, fizikal dan kemahiran.

Import Pahang itu memiliki pengalaman luas berikutan dilihat mudah memahami corak pemain tempatan kerana pernah mewakili pasukan Polis Diraja Malaysia, Perlis dan Pahang, sekali gus meningkatkan keyakinan Cheng Hoe berkaitan keserasian yang bakal dibentuk.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, dua aksi terakhir adalah pentas menilai 50 pemain yang disenaraikan termasuk selepas aksi final Piala Malaysia menjelang Kejohanan AFF November depan.

Justeru, beliau berharap semua pemain terbabit bebas daripada sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 9:16 PM