SUMAREH akan bersama skuad negara. FOTO/FAIL
SUMAREH akan bersama skuad negara. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor dan Farah Azharie 


PEMAIN sayap negara, Mohamadou Sumareh akan menyertai latihan skuad kebangsaan hari ini selepas mendapat pelepasan daripada majikannya Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Ia disahkan sendiri pemain kelahiran Gambia itu yang menjelaskan dia dalam perjalanan ke Melaka - pangkalan latihan skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

“Saya akan ke Melaka hari ini dan menyertai (latihan pasukan kebangsaan). Saya boleh beraksi dan akan terbang (ke Colombo) bersama pasukan kebangsaan esok,” kata Sumareh.

“Ya, saya (sudah mendapat pelepasan daripada PBNP) dan sebab itu saya ke Melaka.

“Ia bukan isu besar. Sekarang ini semuanya sudah selesai dan saya juga akan beraksi sebagai pemain tempatan musim depan.”

Sumareh yang juga pemain naturalisasi pertama Malaysia tidak kelihatan pada hari pertama latihan pusat di Stadium Hang Jebat, semalam selepas didakwa belum mendapat pelepasan daripada PBNP.

Sementara itu, Cheng Hoe ketika dihubungi mengakui lega dengan kehadiran pemain berusia 27 tahun itu yang semestinya diharapkan mampu memperkuatkan lagi jentera serangan pada aksi persahabatan berdepan Sri Lanka, Jumaat ini.

“Saya dimaklumkan Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia) Sumareh akan melaporkan diri hari ini dan ia satu perkara yang melegakan saya.

“Apa yang saya harapkan dia dapat membuktikan kemampuannya dan membalas kepercayaan yang diberikan barisan kejurulatihan Harimau Malaya,” kata Cheng Hoe.

Selain Sri Lanka, Sumareh juga akan berdepan ujian kedua bersama Harimau Malaya pada satu lagi aksi persahabatan menentang Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, 16 Oktober ini sebagai persiapan menghadapi Piala AFF, bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 5:45 PM