PEMAIN Terengganu FC , Tchetche Hermann Brice Kipre (empat kiri) diasak oleh pemain Kelantan pada Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Rozainah Zakaria
PEMAIN Terengganu FC , Tchetche Hermann Brice Kipre (empat kiri) diasak oleh pemain Kelantan pada Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad


PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui beliau sedikit berang dengan prestasi jentera serangannya yang melepaskan deretan peluang terhidang untuk meledak jaringan lebih banyak ketika melayani skuad jiran, Kelantan malam semalam dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Bagaimanapun Irfan Bakti tidak mahu menyalahkan pemainnya 100 peratus berikutan kegagalan itu sebaliknya beliau bersyukur kerana sasaran untuk mengutip tiga mata berhasil selepas merakam kemenangan 2-0 ke atas skuad The Red Warriors itu hasil jaringan kapten, Kipre Tchetche dan Muhammad Kamal Azizi Mohd Zabri pada setiap babak.   

Jurulatih berusia 67 tahun itu berkata, bekalan gol yang banyak amat perlu buat pasukannya dalam misi mengintai kedudukan ketiga terbaik dalam pentas Liga Super ketika saingan untuk merebut posisi itu masih terbuka dan kini terarah kepada empat lagi pasukan iaitu Perak, Pahang, PKNS FC dan Kedah. 

"Kita memerlukan gol yang banyak pada malam ini (semalam) apatah lagi kita kekurangan jaringan, jika kita lihat rekod jaringan kita hampir menyamai bolos dengan 32 jaringan dan 29 bolos daripada 21 perlawanan. 

"Sepatutnya pada malam ini (semalam) kita dapat jaringan lebih besar iaitu antara lima atau enam gol kerana peluang sudah terbuka buat pemain untuk melakukannya termasuk sepakan penalti yang gagal disempurnakan Tchetche, tapi malang pemain tidak berupaya melakukannya. 

“Apapun kami lega dengan kemenangan itu yang hadir tepat pada masanya dalam misi memburu kedudukan yang lebih baik dalam liga dan tahniah buat pemain yang sudah berusaha dengan sebaik mungkin dalam aksi terakhir di laman sendiri itu. 

“Namun apa yang saya harapkan aksi terakhir nanti bertemu dengan Selangor pada Ahad depan di tempat mereka, pemain harus lebih tajam selain menggunakan peluang yang ada untuk melakukan jaringan sekali gus mencatat kemenangan apatah lagi saingan untuk memburu kedudukan tiga terbaik kian sengit antara lima pasukan,” kata Irfan Bakti. 

Skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu kini menghuni di tangga keempat liga dan berkongsi 34 mata bersama Pahang yang menduduki tangga ketiga manakala Perak berada di kedudukan kedua dengan mengumpul 36 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang gah dengan 56 mata. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 7:14 PM