PRESIDEN Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) Datuk Abdul Halim Kader
PRESIDEN Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) Datuk Abdul Halim Kader
Azlan Muhammad Zain


PENYERTAAN regu lelaki di Sukan Asia 2018 semakin kabur apabila Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) mengedarkan jadual perlawanan sepak takraw kepada negara peserta malam tadi tanpa menyenaraikan skuad negara dalam acara potensi emas itu.

Sebaliknya, skuad lelaki negara kekal menyertai acara berpasukan regu dan beregu berpasukan dengan saingan sepak takraw yang berlangsung di Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang akan bermula dari 19 Ogos hingga 2 September.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) Datuk Abdul Halim Kader ketika dihubungi mengesahkan pihaknya turut mendapat salinan jadual perlawanan membabitkan enam acara sepak takraw di Sukan Asia itu.

"Semua majlis olimpik negara yang terbabit mendapat salinan berkenaan. Saya sendiri sudah mendapatnya malam tadi daripada INASGOC," katanya.

Perkembangan berkenaan dilihat semakin meresahkan skuad negara yang sepatutnya menyertai acara regu dan regu berpasukan. Acara regu adalah taruhan terbaik negara untuk meraih emas selepas seteru utama, Thailand memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam acara itu.

Tekong negara, Mohd Syahir Rosdi menjadi taruhan utama selain Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong), Mohd Hanapiah Dolah (perejam)

Muhammad Norhaffizi Abd Razak (perejam) dan pengumpan, Mohd Farhan Adam disenaraikan dalam acara regu.

Sebelum ini Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria dilaporkan berkata, ia adalah kesilapan teknikal INASGOC dengan Pengarah Sukan INASGOC, Wisnu Wardhana menghubunginya dan mengakui kesilapan itu selepas Malaysia tidak tersenarai dalam acara regu pada majlis undian yang berlangsung di Jakarta awal bulan ini.

Malah Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dilaporkan bersedia diletakkan di mana-mana kumpulan sekiranya tiada undian semula dilakukan.

Saingan regu menyaksikan Indonesia mengetuai Kumpulan A bersama-sama Singapura, Filipina dan Pakistan manakala Korea Selatan dalam Kumpulan B dicabar China, India dan Nepal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 7:23 PM