TIMBALAN Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi. FOTO Bernama
TIMBALAN Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi. FOTO Bernama
Azlan Muhammad Zain


MALAYSIA kini menaruh harapan kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk membuat keputusan berhubung penyertaan skuad sepak takraw dalam acara regu lelaki di Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, OCA mempunyai kata putus berhubung isu itu dan berharap ia memihak kepada negara.

"Sekarang kita menanti keputusan OCA dengan rayuan sudah dibuat minggu lalu. Mereka mempunyai kata putus, jadi kita mengharapkan keputusan yang positif," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Azim yang juga ketua kontinjen negara ke temasya itu menaruh harapan ia akan diselesaikan dalam masa terdekat kerana OCA sudah meminta dokumen yang dimiliki Malaysia selain daripada Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC).

Terdahulu, pada undian yang berlangsung awal bulan ini, Malaysia tidak tersenarai dalam saingan regu walaupun MOM dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menegaskan sudah menghantar pengesahan untuk menyertai acara regu selain berpasukan.

Malaysia sebaliknya tersenarai dalam acara beregu berpasukan.

Regu lelaki adalah acara yang menjadi sandaran emas negara di temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 6:34 PM