RAZLAN RAZALI
RAZLAN RAZALI
Sukhairi Thani


PASUKAN MotoGP pertama Malaysia yang bakal membuat kemunculan sulungnya musim depan tidak akan disertai pelumba negara dengan kemungkinan penyertaan bakat tempatan hanya boleh dilihat seawal tahun 2021.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali dengan menyatakan belum ada pelumba negara yang dilihat ‘bersedia’ untuk beraksi di kelas tertinggi itu.

“Untuk pasukan MotoGP (negara), mungkin dalam masa dua tahun ini 2019 dan 2020, kita tak dapat menggunakan khidmat pelumba Malaysia,” kata Razlan ketika ditemui selepas program Bina Bakat bersama Kolej Automotif TOC, hari ini.

“Ini kerana tidak ada pelumba (tempatan) yang dilihat bersedia setakat ini. Kita akan beri masa selama dua tahun untuk melahirkan pelumba kedua Malaysia yang boleh menyertai kelas MotoGP.

“Insya Allah, pelumba pertama negara yang akan berlumba bersama pasukan SIC yang baharu ini akan dapat dilihat pada 2021.”

Sebelum ini, khabar angin mengenai pasukan pertama negara dalam kelas MotoGP hangat diperkatakan dengan pemegang hak penganjuran MotoGP, Dorna menerusi laman web rasmi MotoGP mengesahkan penyertaan SIC bermula tahun depan.

SIC dilaporkan sudah menandatangani perjanjian dengan Angel Nieto Racing Team (ANRT) dan bakal menggunakan jentera Yamaha selama tiga musim.

Mengulas lanjut perkara itu, Razlan berkata: “Ini yang diumumkan pihak Dorna, saya tak boleh menafikan dan ia betul. Kita dalam peringkat terakhir untuk mendapatkan kelulusan untuk mengumumkan secara rasmi pembabitan SIC dalam kelas MotoGP pada 2019.

“Pada 2019 buat kali pertamanya kita akan ada pembabitan dalam semua kategori - MotoGP, Moto2 dan Moto3 - ini satu pengumuman yang positif untuk bidang sukan permotoran dua roda khususnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 6:59 PM