FRANCO MORBIDELLI
FRANCO MORBIDELLI
Daripada Sukhairi Thani

LONDON: Grand Prix (GP) British hujung minggu ini bakal menyaksikan sejarah baharu dalam sukan permotoran negara apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersama PETRONAS dan wakil Yamaha akan mengumumkan satu pengumuman penting, esok.

Pengumuman itu kemungkinan besar bakal merungkai persoalan kerjasama antara tiga entiti utama ini bagi membentuk sebuah pasukan baharu dan yang pertama negara dalam kelas perdana MotoGP pada musim 2019.

Malah, pengumuman yang bakal memperkenalkan barisan pelumba di sirkit Silverstone itu akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali; Presiden PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta dan wakil Yamaha, Lin Jarvis dan Koichi Tsuji.

Kehadiran nama-nama besar ini sekali gus memperkuatkan lagi pembentukan pasukan negara dalam kelas MotoGP dengan Jarvis sendiri pernah menyatakan mengenai barisan pelumba pasukan yang bakal disertai ‘protege’ Valentino Rossi, Franco Morbidelli dan pelumba yang sedang beraksi di Moto2 dari Perancis, Fabio Quartararo.

Malah, Syed Saddiq dalam akaun Twitter miliknya kelmarin juga mengesahkan kehadiran di Silverstone selain menganggap industri sukan permotoran harus diberikan tempat dalam ‘Malaysia Baharu’.

“Belia permotoran perlu diberikan tempat secukupnya dalam Malaysia Baharu,” katanya dalam Twitter.

“Saya akan bersama pihak PETRONAS, Sepang International Circuit (SIC) dan KBS hujung minggu ini. Perbincangan dan tindakan susulan akan kita usahakan.”

Penyertaan pasukan Malaysia dalam kelas MotoGP tahun depan secara tidak langsung akan melengkapkan pembabitan negara dalam setiap kelas dipertandingkan - MotoGP, Moto2 dan Moto3 - dengan dua kelas sedia ada berada di bawah nama PETRONAS Sprinta Racing.

Ia sekali gus bakal memberi impak positif kepada sukan permotoran dua roda tempatan dan diakui sendiri oleh Razlan meskipun pelumba pasukan tempatan pertama itu hanya berkemungkinan dapat dilihat seawal tahun 2021.

“Untuk pasukan MotoGP (negara), mungkin dalam masa dua tahun ini 2019 dan 2020, kita tak dapat menggunakan khidmat pelumba Malaysia,” kata Razlan.

“Ini kerana tidak ada pelumba (tempatan) yang dilihat bersedia setakat ini. Kita akan beri masa selama dua tahun untuk melahirkan pelumba kedua Malaysia yang boleh menyertai kelas MotoGP.

“Insya Allah, pelumba pertama negara yang akan berlumba bersama pasukan SIC yang baharu ini akan dapat dilihat pada 2021.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 8:57 PM