PELUMBA Malaysia, Zulfahmi Khairuddin ketika beraksi untuk pasukan Orelac Racing VerdNatura. Foto fail
PELUMBA Malaysia, Zulfahmi Khairuddin ketika beraksi untuk pasukan Orelac Racing VerdNatura. Foto fail
Sukhairi Thani


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Itu mungkin peribahasa sesuai buat bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin apabila impiannya ke Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia akhirnya tercapai.

Tahun lalu, Zulfahmi mengakhiri pembabitannya dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan untuk tahun ini memikul tugas selaku mentor untuk program kendalian Litar Antarabangsa Sepang (SIC), ‘Impian ke MotoGP’.

Namun siapa sangka, tuah untuknya kembali ke Kejuaraan Motosikal Dunia akhirnya menjadi kenyataan apabila namanya diumumkan sebagai pengganti kepada Hafizh Syahrin Abdullah yang ketika ini dikaitkan dengan pasukan yang bersaing di kelas perdana MotoGP, Monster Yamaha Tech3.

Zulfahmi, 26, akan mengisi tempat Hafizh di SIC Racing Team dan penampilan pertamanya dapat dilihat pada ujian rasmi Moto2 di Sirkit Ricardo Tormo di Valencia, Sepanyol, bermula 6 Februari ini.

“Ia satu yang menakjubkan apabila menerima peluang sebegini,” kata Zulfahmi. “Saya berterima kasih kepada SIC, terutamanya Datuk Razlan kerana sokongan berterusan dan kepercayaan kepada saya. Saya sangat gembira untuk kembali ke paddock MotoGP. Di Valencia, tumpuan akan diberikan terhadap perasaan saya bersama jentera Moto2 dan pantas mencari kelajuan diperlukan.

“Saya tidak merasakan ia satu langkah besar buat saya dari (kelas) Supersport ke Moto2 tetapi sudah pasti ia satu persaingan yang sengit dan saya perlu melakukan lebih banyak pusingan nanti.

“Saya berharap dapat meraih data yang bagus di Valencia sebelum kami menjalani satu lagi ujian persendirian di Sepang pada minggu seterusnya.

Zulfahmi mula bergiat secara kompetitif dalam Kejuaraan Motosikal Dunia sejak 2009, menyertai kelas 125cc sehingga 2011 sebelum kelas berkenaan diangkat kepada Moto3 dari tahun 2012 hingga 2015. Anak kelahiran Banting, Selangor itu kemudiannya menyertai kelas Supersport di WSBK pada tahun 2016 hingga 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 6:13 PM