SIC masih belum diumum berada dalam kalendar perlumbaan tahun ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
SIC masih belum diumum berada dalam kalendar perlumbaan tahun ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
BERNAMA

PRINSIPAL Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali berharap agar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijadikan sebagai venue pusingan terakhir dalam kalendar perlumbaan MotoGP musim ini.

Dorna Sports iaitu pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, masih belum mengumumkan status perlumbaan MotoGP di Malaysia, Argentina dan Thailand selepas kalendar perlumbaan musim ini terpaksa dirombak susulan pandemik Covid-19.

Beliau berkata jika pusingan terakhir MotoGP berlangsung di SIC, ia akan bertambah menarik dengan kedudukan pasukan SRT yang berpangkalan di Malaysia dan sedang memburu kejohanan dunia.

"Harapan saya agar pelumba dapat membuat sesuatu yang ajaib. Saya percaya SIC akan buat yang terbaik untuk memastikan Malaysia boleh menganjurkan pusingan terakhir Kejuaraan MotoGP," kata Razlan.

Kejuaraan MotoGP 2020 hanya melibatkan dua kategori iaitu Moto2 dan Moto3 dalam pusingan pertama pada GP Qatar Mac lalu, sebelum Dorna Sports mengambil keputusan mempertandingkan kesemua kategori termasuk kelas premier MotoGP pada GP Sepanyol dan GP Andalusia di Litar Jerez, Sepanyol pada bulan ini.

Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo mengungguli carta kedudukan MotoGP dengan kutipan 50 mata, hasil kejayaan menjuarai GP Sepanyol pada 19 Julai dan GP Andalusia, dua hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 7:17 PM