PELUMBA SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin. FOTO FB SIC Racing Team
PELUMBA SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin. FOTO FB SIC Racing Team
Sukhairi Thani


SPEKULASI mengenai SIC Racing dan Zulfahmi Khairuddin ‘bercerai’ akhirnya terjawab apabila pelumba Moto2 itu mengesahkan penampilannya di Grand Prix (GP) Sepanyol minggu lalu adalah perlumbaan terakhirnya bersama pasukan itu.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, Zulfahmi berkata, keputusan itu dicapai atas persetujuan bersama selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali di Jerez.

“Selepas perlumbaan terakhir di Jerez, saya dapati amat sukar untuk saya menyesuaikan diri dan meningkatkan prestasi,” kata pelumba berusia 26 tahun itu yang dipilih menggantikan Hafizh Syahrin Abdullah yang ditawarkan beraksi dalam kelas Perdana MotoGP, musim ini. 

“Jadi, selepas perbincangan bersama pasukan, saya memutuskan lebih baik saya menamatkan karier di Moto2.

“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua terutamanya Datuk Razlan Razali dan pengurus pasukan, Johan Stigefelt atas kepercayaan diberikan kepada saya untuk bersaing di Moto2.”

Untuk rekod, Zulfahmi jelas bergelut selepas lama meninggalkan perlumbaan kompetitif apabila hanya menduduki tempat ke-28 pada kempen permulaan musim di GP Qatar pertengahan Mac lalu sebelum menduduki tempat ke-26 (GP Argentina) dan ke-27 (GP Amerika Syarikat).

Pada pusingan keempat di GP Sepanyol minggu lalu, Zulfahmi ditimpa nasib malang apabila gagal menamatkan perlumbaan kerana berdepan masalah teknikal di bahagian gear yang menyebabkannya terjatuh.

Keputusan Zulfahmi itu kini menimbulkan persoalan baharu siapa yang akan menggantikan bekas pelumba Moto3 dan Supersport di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) itu menjelang GP Perancis di Le Mans, minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 10:31 PM