ZULFAHMI adalah calon terbaik bagi menggantikan tempat yang mungkin akan ditinggalkan oleh Hafizh. Foto fail
ZULFAHMI adalah calon terbaik bagi menggantikan tempat yang mungkin akan ditinggalkan oleh Hafizh. Foto fail
Sukhairi Thani


SELEPAS dua tahun menyepi daripada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia, Zulfahmi Khairuddin bakal membuat penampilan semula dan lebih menarik akan beraksi dalam kelas Moto2 buat pertama kali.

Bekas pelumba Moto3 itu akan mengisi tempat yang bakal dikosongkan Hafizh Syahrin Abdullah dalam pasukan SIC Racing selepas Hafizh dikaitkan dengan Monster Yamaha Tech3 dalam kelas MotoGP, musim ini.

“Zulfahmi ketika ini berada di Barcelona untuk menjalani latihan bersama-sama pelumba kita yang lain (Adam Norrodin, Hafizh Syahrin Abdullah) sebagai persiapan menghadapi ujian (rasmi Moto2) pada Selasa ini.

“Dia akan kembali ke Malaysia bersama pasukan Moto3, PETRONAS Sprinta pada 18, 19 dan 20 Februari ini untuk sesi ujian persendirian di Sepang nanti,” kata Razlan.

Minggu ini, spekulasi mengenai masa depan Hafizh bertiup kencang apabila bekas pelumba daripada Program Pembangunan Bakat PETRONAS berkenaan dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Monster Yamaha Tech3, menggantikan Jonas Folger yang mengalami masalah kesihatan.

Sekiranya menjadi realiti, Hafizh bakal mencatat sejarah tersendiri muncul selaku pelumba dari Asia Tenggara pertama yang bersaing dalam kelas MotoGP.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Zulfahmi, Razlan berkata: “Berdasarkan ura-ura mengenai Hafizh, kami terpaksa mengecualikan beliau dalam Moto2 dan dia (Zulfahmi) sebagai ganti untuk Hafizh.

“Ada dua tiga nama selain Zulfahmi tetapi pada akhirnya, Zulfahmi adalah calon terbaik. Antara senarai lain ialah seperti Azlan Shah, Zaqhwan Zaidi dan pelumba dari Eropah.

“Khairul Idham Pawi juga berada dalam senarai tetapi mereka ini mempunyai kontrak berbanding Zulfahmi tidak mempunyai kontrak dengan sesiapa pada masa ini.

“Zulfahmi juga mempunyai pengalaman dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan dia mengetahui selok belok litar MotoGP.”

Zulfahmi akan menunggang jentera baru ketika pasukannya menyertai ujian rasmi selama tiga hari di Litar Ricardo Tormo di Valencia, Sepanyol, bermula 6 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 5:48 PM