MORBIDELLI antara nama yang dikaitkan dengan pasukan baharu itu. -Foto Agensi
MORBIDELLI antara nama yang dikaitkan dengan pasukan baharu itu. -Foto Agensi
Fadhli Ishak

KUALA LUMPUR: Selepas pelbagai spekulasi, Malaysia sah akan mempunyai pasukan yang bakal beraksi dalam saingan MotoGP musim depan dan dijangka menggunakan enjin Yamaha.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sudah menandatangani perjanjian dengan Angel Nieto Racing Team (ANRT) yang menyaksikan mereka menyambar dua slot terakhir untuk permulaan grid musim 2019.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, pengasas ANRT, Jorge Martinez akan menggalas jawatan sebagai penasihat sukan untuk pasukan baharu itu.

Perkara itu diumumkan dalam laman web MotoGP, hari ini.

“SIC dan ANRT secara prinsipal sudah mencapai persetujuan yang menyaksikan untuk musim 2019, SIC akan mengambil alih dua slot ANRT. Jorge Martinez akan akan terus menggalas tugas sebagai penasihat sukan bagi pasukan baharu MotoGP ini,” menurut kenyataan itu dalam laman web MotoGP.

Kenyataan itu juga mengesahkan pasukan berkenaan akan menggunakan jentera Yamaha selama tiga musim selepas ini.

“Yamaha Motor Co. Ltd mengesahkan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan SIC.

“Perjanjian MoU antara Yamaha Motor Co. Ltd dengan SIC menyaksikan pasukan akan menggunakan jentera YZR-M1 untuk musim 2019, 2020 dan 2021 dalam saingan kejuaraan dunia sebagai pasukan satelite,” menurut satu kenyataan berasingan di laman web MotoGP.

Kenyataan itu sekali gus mengesahkan pasukan baharu itu akan mengambil alih tempat Monster Yamaha Tech3 sebagai pasukan satelite Yamaha untuk musim depan.

Tech3 pula akan menggunakan jentera KTM pada musim depan.

Difahamkan pasukan baharu itu akan mendapat tajaan PETRONAS, namun ia belum dapat disahkan termasuklah siapakah pelumba bagi dua jentera pasukan itu.

Pelumba Itali, Franco Morbidelli dan pelumba Sepanyol, Dani Pedrosa adalah dua nama yang dikaitkan dengan pasukan baharu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 7:33 PM