KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim. FOTO Owee Ah Chun
KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim. FOTO Owee Ah Chun
Malik Muhamad


KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan akan melakukan rombakan ke atas pasukannya menjelang pertemuan Liga Super dengan Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam esok.

Ia berikutan aksi merudum yang diperagakan skuad kendaliannya ketika dibelasah 0-4 kepada PKNS FC, Sabtu lalu.

Irfan Bakti berkata, beliau berang dengan beberapa pemainnya yang tidak berdisiplin ketika bertemu skuad Semut Merah itu dan menuntut mereka supaya 'bermain bola' dan bukannya hanya melengkapkan senarai pemain beraksi di dalam padang.

"Terus terang saya katakan begitu kecewa dengan aksi teruk beberapa pemain sekali gus membawa padah kepada pasukan sehingga tewas besar.

"Justeru, saya akan melakukan rombakan bagi memastikan kami dapat bangkit semula mencari kemenangan ketika menentang Kedah.

"Saya juga menuntut pemain yang disenaraikan memperagakan aksi lebih 100 peratus selain mereka perlu mengamalkan disiplin yang tinggi di dalam padang," kata Irfan Bakti.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti yang menyasarkan kedudukan tiga tempat teratas Liga Super musim ini meminta pemainnya belajar daripada kesilapan dan bertekad tidak mengulanginya lagi pada tiga baki perlawanan termasuk menentang Kelantan dan terakhir Selangor.

"Saya kerap beritahu pemain supaya lebih fokus ketika beraksi selain tidak mengambil mudah dalam setiap perlawanan biarpun pasukan yang bakal ditentang itu adalah pasukan yang pernah ditewaskan kerana setiap perlawanan adalah berbeza.

"Jadi, pertemuan malam esok kami tiada pilihan lain kecuali perlu menang walaupun bertandang di laman lawan kerana sebarang kekalahan atau seri bakal menyukarkan lagi misi kami untuk mencapai sasaran tiga pasukan terbaik liga," kata pengendali berusia 67 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 9:08 PM