EVAN (kanan) mahu bantu Selangor bergelar juara Piala FA. -Foto fail
EVAN (kanan) mahu bantu Selangor bergelar juara Piala FA. -Foto fail
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: “Saya harap kami dapat selesaikan tugas dengan menjadi juara Piala FA!”

Itu harapan tonggak import The Red Giants, Evan Dimas yang mahukan sepasukannya supaya memanfaatkan peluang beraksi di pentas final Piala FA, Sabtu ini meskipun pada awalnya tiada sesiapa yang menjangkakan pasukan itu dapat lolos sehingga ke perlawanan akhir.

Jelas pemain yang terkenal dengan julukan ‘Anak Ajaib’ itu, pentas itu juga peluang terbaik untuk pasukan itu menamatkan kemarau Piala FA sembilan tahun sekali gus merangkul sekurang-kurangnya satu trofi pada musim ini.

“Alhamdullilah kerana saya dapat membantu Selangor beraksi di pentas final Piala FA kali ini. Kita sudah berada di perlawanan akhir, jadi rugi seandainya kita tidak memenanginya.

“Sudah tentu saya mengimpikan trofi dan ia akan menjadi detik paling manis jika saya berjaya merangkul trofi pada musim pertama saya bersama pasukan baharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai aksi bertemu Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, bekas tonggak Bhayangkara berkenaan mengakui pengalaman beraksi di beberapa pentas final sebelum ini banyak membantu dirinya.

“Sebelum ini, saya pernah beraksi di pentas akhir skuad Bawah 19 tahun (B-19) dan final Piala AFF Suzuki 2016 bersama skuad kebangsaan, jadi dari situ saya belajar untuk mengawal tekanan bagi aksi penting sebegini,” katanya.

Selangor mara ke final selepas seri 1-1 dengan PKNS FC pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, minggu lalu sekali gus layak ke final dengan agregat 5-1.

Kali terakhir Selangor beraksi pada final Piala FA pada tahun 2009 yang menyaksikan skuad Merah Kuning berjaya merangkul kejuaraan kelima selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 4:38 PM