TENGKU Amir (tengah) bersama Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari (baju biru) dan pemain ketika hadir menyaksikan latihan pasukan Selangor di Stadium Nasional Sports City. FOTO/OWEE AH CHUN
TENGKU Amir (tengah) bersama Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari (baju biru) dan pemain ketika hadir menyaksikan latihan pasukan Selangor di Stadium Nasional Sports City. FOTO/OWEE AH CHUN
Syafiq Aznan


PASUKAN Selangor beroleh motivasi terbaik menjelang aksi final Piala FA, malam esok apabila menerima kunjungan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tengku Amir yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkenan untuk hadir menyaksikan sesi latihan pasukan The Red Giants di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.

Beliau yang tiba pada jam 8.03 malam diiringi Menteri Besar, Amirudin Shari dan mengambil kesempatan untuk beramah mesra bersama pemain yang akan beraksi di pentas akhir bertemu Pahang di SNBJ.

Beliau turut menitipkan kata semangat buat pemain dan sudah pasti kehadiran Tengku Amir dapat menjadi perangsang buat anak buah Nazliazmi Nasir bagi menamatkan kemarau sembilan tahun untuk merangkul trofi berprestij itu.

Selain memberikan kata semangat, Tengku Amir turut berkenan menyerahkan sut penuh eksklusif kepada setiap pemain.

“Saya mengharapkan pemain supaya menunjukkan mentaliti untuk menang dan bayangkan anda sendiri yang menggenggam trofi itu.

“Jadi pemain perlu memberikan sehabis baik. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pemain dan saya percaya kita akan memenangi Piala FA,” kata Tengku Amir.

Terdahulu, Selangor mencipta kejutan apabila mara ke final Piala FA selepas menundukkan pasukan ‘adik’, PKNS FC di separuh akhir menerusi agregat 5-1.

Kali terakhir mereka merangkul piala berprestij itu adalah pada 2009 yang menyaksikan mereka menundukkan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 11:04 PM