DIDIER DESCHAMPS
DIDIER DESCHAMPS
AFP

NIZHNIY NOVGOROD, Russia: Didier Deschamps melakar pencapaian signifikan dalam kariernya minggu lalu.

Beliau muncul jurulatih Perancis paling lama apabila mengendalikan perlawanan ke-80 Les Bleus menewaskan Argentina 4-3 dalam aksi menarik bertemu Uruguay pada suku akhir malam esok.

Enam tahun selepas menggantikan Laurent Blanc tetapi berapa lama beliau akan meneruskan tugasnya akan bergantung kepada keputusan di Nizhny Novgorod apabila jentera serangan Perancis akan berdepan pertahanan kental Uruguay.

Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) meletakkan sasaran separuh akhir di Russia dan pencapaian lapan terbaik akan menyaksikan kemungkinan era Deschamps berakhir.

FFF menjelaskan pengendali berusia 50 tahun berkenaan akan kekal sehingga kontraknya berakhir pada 2020.

Bagaimanapun penyingkiran yang mengecewakan akan menggugat kedudukannya terutamanya Zinedine Zidane kini sudah meninggalkan Real Madrid.

Ramai peminat Perancis mengharapkan Zidane apabila menyaksikan aksi pasukan di pentas peringkat kumpulan terutamanya ketika terikat tanpa jaringan dengan Denmark.

Persembahan menentang Argentina adalah sesuatu yang diimpikan peminat dengan kehadiran Kylian Mbappe mengatasi Lionel Messi dengan Perancis mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

“Kritikan akan sentiasa wujud. Namun kebenaran hanya apa yang berlaku di atas padang,” kata Deschamps kepada televisyen Perancis selepas perlawanan.

Diego Godin dan rakan sepasukan tidak akan memberikan laluan mudah di suku akhir dengan jurulatih mahu mengelakkan kekecewaan sama empat tahun lalu apabila kecundang kepada Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 11:34 AM