Mohd Shazli pada sidang media. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohd Shazli pada sidang media. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) percaya 80,000 tiket final Piala FA antara Selangor dan Pahang tetap akan habis dijual walaupun peminat ketika ini sedang dilanda ‘demam’ Piala Dunia.

Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menjelaskan faktor dua pasukan gergasi yang sudah lama tidak bertembung di pentas akhir juga dijangka boleh menarik minat penyokong untuk membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.

“Mungkin kita perlu terima hakikat bahawa Piala Dunia menjejaskan kehadiran penonton dalam aksi liga dan separuh akhir Piala FA sebelum ini.

“Tapi bagi aksi final ini, kita dapat merasakan 80,000 tiket yang dicetak itu akan habis dijual. Kita akan cuba memastikan penyokong kedua-dua pasukan untuk membanjiri SNBJ,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA, hari ini.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) masing-masing diperuntukkan 30,000 tiket dewasa dan 750 tiket kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang masing-masing berharga RM50 dan RM5.

Tiket berkenaan akan mula dijual pada jam 9 pagi, Rabu ini termasuk baki 18,000 tiket dewasa dan 500 tiket kanak-kanak yang akan dijual secara dalam talian melalui laman sesawang www.shopee.com.my dan www.tickethotline.com.my.

Dalam pada itu, wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Asisten Superintendan (ASP) Fadli Minhat yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan mengesahkan seramai 1,505 anggota akan bertugas di luar dan dalam stadium bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku pada hari perlawanan.

“Kita harap semua penyokong kedua-dua pasukan boleh datang awal ke stadium dan menggunakan laluan yang sudah ditetap. Malah, penyokong dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

“Penyokong juga dinasihatkan tidak membawa barang larangan seperti senjata tajam dan seperti sedia maklum ketika ini kita masih dalam musim perayaan, jadi diharap penyokong tidak membawa masuk bunga api atau mercun ke stadium,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 8:41 PM