SEBAHAGIAN daripada penyokong TFC yang  membanjiri  Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ketika menentang JDT.
SEBAHAGIAN daripada penyokong TFC yang membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ketika menentang JDT.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Seramai 20,000 penyokong bakal menghangatkan pentas final Piala Malaysia apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan bakal menyediakan 20,000 tempat duduk untuk aksi kemuncak itu.

Biarpun Stadium Nasional Bukit Jalil boleh memuatkan hampir 100,000 penyokong, MFL harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengehadkan jumlah kehadiran penonton ke stadium.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, senarai harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia mengikut empat tier bermula RM50, RM70, RM80 dan RM150.

Katanya, MFL akan menanggung peningkatan kos penganjuran tahun ini selepas jualan kuantiti tiket yang agak terhad.

"MFL telah menetapkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 adalah sama seperti harga tiket pada 2019. Meskipun MFL terpaksa menanggung peningkatan kos penganjuran tahun ini dan tiket hanya diperuntukkan sebanyak 20,000 tempat duduk, MFL masih mengekalkan harga tiket walaupun dengan jualan kuantiti tiket yang agak terhad," katanya.

Tiket final itu akan mula dijual pada Sabtu ini bermula jam 12 tengah hari menerusi pembelian dalam talian di www.tickethotline.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 10:04 PM