MURAL Ronaldo di Saransk ketika berlangsung Piala Dunia 2018 Russia. FOTO/AFP
MURAL Ronaldo di Saransk ketika berlangsung Piala Dunia 2018 Russia. FOTO/AFP
Agensi

MOSCOW: Carlos Queiroz menyifatkan Portugal mempunyai ‘formula magis’ untuk memenangi Piala Dunia iaitu Cristiano Ronaldo.

Bos Iran, Queiroz menjadi pembantu Sir Alex Ferguson semasa Ronaldo di Manchester United sebelum dia dijual ke Real Madrid dengan harga £80 juta (RM 425.6 juta).

Namun kedua-dua mereka, yang akan bertembung di Saransk awal pagi esok bagi aksi terakhir kumpulan, sehingga kini tidak bertentang mata akibat daripada tindakan bekas pengendali Portugal itu menyalahkan Ronaldo di atas kekalahan kepada Sepanyol pada aksi 16 terakhir Piala Dunia 2010.

Mereka tidak bercakap selama lapan tahun, tetapi Queiroz percaya Ronaldo mampu memenangi Piala Dunia di Russia untuk menambah koleksi kejayaan Euro 2016.

“Portugal mempunyai formula magis untuk memenangi Piala Dunia, bukan saja kerana memiliki sebuah pasukan yang hebat tetapi juga memiliki pemain seperti Ronaldo yang mampu membawa perbezaan,” kata Queiroz.

“Setiap pasukan yang hebat pastinya mempunyai pemain seperti Diego Maradona ataupun Bobby Charlton. Buat Portugal ia adalah Ronaldo.”

Setakat dua aksi Kumpulan B, Ronaldo kelihatan paling menonjol untuk Portugal - meledak hatrik ketika seri 3-3 dengan Sepanyol dan menyumbat gol tunggal sewaktu kemenangan 1-0 ke atas Maghribi.

Tetapi andai Iran melakar kejutan awal pagi esok dan Sepanyol menewaskan Maghribi, ia bermakna Portugal akan dihantar pulang daripada kejohanan terulung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 12:21 PM