JURULATIH Felda United, B Sathianathan anggap kes pergaduhan antara pemain dan pegawai pasukannya dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) selesai. Foto NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL
JURULATIH Felda United, B Sathianathan anggap kes pergaduhan antara pemain dan pegawai pasukannya dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) selesai. Foto NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL
Rodly Fadly


JURULATIH FELDA United, B Sathianathan menganggap pergaduhan kecil yang berlaku antara pemain dan pegawai pasukannya dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) sebaik tamat perlawanan kelmarin adalah perkara biasa dalam bola sepak.

Malah, beliau beranggapan isu berkenaan sudah selesai sebaik saja anggota keselamatan berjaya meleraikan kekecohan yang berlangsung selama kira-kira lima minit itu.

“Situasi sebegini (pergaduhan) adalah perkara biasa dalam bola sepak apabila kedua-dua pasukan terlalu inginkan kemenangan sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal emosi walaupun perlawanan sudah berakhir.

“Perlawanan itu memang berlangsung dalam keadaan agak tegang. Mungkin ada yang tidak berpuas hati semasa perlawanan sehingga terbawa-bawa ke luar padang. Apatah lagi bila ada pihak yang mencetuskan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat.

“Tapi, ia bukanlah pergaduhan yang serius. Saya berterima kasih kepada pihak keselamatan kerana berjaya mengawal serta menenangkan keadaan. Saya anggap isu ini sudah selesai,” kata Sathia.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka itu, dua kad merah dan lapan kad kuning dilayangkan pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin, menyaksikan pemain FELDA, Wan Zack Haikal Wan Nor dibuang padang pada minit ke-60, disusuli penyerang JDT II, Nicolas Fernandes pada minit ke-94.

FELDA bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk memaksa keputusan seri 2-2 apabila Thiago Augusto Fernandes melakukan jaringan pada minit ke-86 dan 95 untuk memadam kelebihan JDT II yang mendahului melalui Fernandes (m-44) dan Darren Lok (m-58).

Keputusan itu ternyata melegakan Sathia terutama selepas The Fighters terpaksa bermain dengan hanya 10 pemain pada 30 minit terakhir apabila Wan Zack Haikal dibuang padang.

“Saya benar-benar berbangga dengan semangat ditunjukkan oleh semua pemain FELDA kerana mereka berjuang hingga ke wisel penamat walaupun ketinggalan 0-2 dan bermain dengan 10 orang.

“Meskipun hanya satu mata, namun saya sangat berpuas hati apatah lagi JDT II bukan calang-calang pasukan terutama selepas melakukan rombakan pemain pada pusingan kedua,” katanya.

Keputusan itu tidak menggugat kedudukan FELDA di persada Liga Perdana dengan 37 mata dan hanya memerlukan lima mata daripada baki empat perlawanan untuk bergelar juara musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 10:17 AM