LOEW (tengah) mencari formula untuk perlawanan kedua aksi Piala Dunia 2018. FOTO/AFP
LOEW (tengah) mencari formula untuk perlawanan kedua aksi Piala Dunia 2018. FOTO/AFP
AFP

VATUTINKI (Russia): Joachim Loew berdepan dengan krisis terbesar sepanjang 12 tahunnya sebagai jurulatih Jerman selepas juara bertahan itu mengalami kekalahan mengejutkan kepada Mexico dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia di Russia.

Jerman cuba mengubati luka pasukan itu selepas tewas 0-1 hasil jaringan Hirving Lozano di Stadium Luzhniki di Moscow - kekalahan pertama mereka dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia pasukan itu sejak tahun 1982.

“Kami tidak akan berpecah,” tegas Loew, namun itulah apa yang sebenarnya berlaku terhadap pertahanannya pada babak pertama.

Loew mempunyai kontrak bersama Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) sehingga 2022, tetapi keputusan Ahad lalu mencalar reputasi cemerlang jurulatih itu yang membawa kemenangan Piala Dunia 2014.

“Saya tidak pernah melihat pasukan Jerman yang begitu lemah dalam kejohanan besar untuk tempoh yang lama,” kata kapten Jerman Barat yang memenangi Piala Dunia 1990, Lothar Matthaeus. 

“Hampir semua benda tidak menjadi. Ada berlakunya kesilapan dalam tumpuan, hantaran yang teruk dan juga sikap pemain itu sendiri tidak ada.”

Loew dikritik teruk di Jerman berikutan taktikalnya dan masih memberi kepercayaan terhadap pemain yang tidak menyerlah prestasinya, terutama seperti Sami Khedira dan Mesut Ozil.

Keputusan meninggalkan bintang Manchester City, Leroy Sane daripada pasukan selepas musim yang cemerlang di Liga Perdana turut menimbulkan banyak tanda tanya.

Keyakinan yang diletakkan Loew terhadap Ozil, yang datang ke Russia selepas persembahan mengecewakan bersama Arsenal, dan Khedira yang tidak lagi sekuat dahulu, menyebabkan Loew kini perlu mengubah strateginya.

Loew juga berdepan dengan tekanan untuk melakukan perubahan dan hanya bekas kapten pasukan Philipp Lahm, yang membantu kemenangan Piala Dunia 2014 menyatakan keyakinan terhadap skuad itu biarpun yang lainnya mengkritik.

“Mereka berpengalaman untuk menukar situasi sekarang. Kadang kala kekecewaan sedikit tidak akan menyakitkan dan membantu menyatukan semula pasukan,” katanya Lahm dalam satu acara di Moscow.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 12:00 AM