KETUA jurulatih Jerman, Joachim Loew (kiri) bersama pengarah pasukan Jerman, Oliver Bierhoff ketika hadir pada majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2018. FOTO EPA
KETUA jurulatih Jerman, Joachim Loew (kiri) bersama pengarah pasukan Jerman, Oliver Bierhoff ketika hadir pada majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2018. FOTO EPA
AFP

BERLIN: Ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew dilaporkan dihalang daripada bertemu Mesut Ozil di pusat latihan Arsenal, Isnin lalu untuk membincangkan persaraan mengejut pemain tengah itu daripada tugasan antarabangsa.

Loew dan pengarah pasukan Jerman, Oliver Bierhoff berada di London pada hujung minggu bagi menyertai kongres kejurulatihan FIFA dan kemudian mengunjungi pusat latihan Arsenal di Colney, utara London, bagi menyelesaikan masalah dengan Ozil.

Menurut akhbar harian Jerman, Bild, Loew dan Bierhoff dihalang daripada masuk ke pusat latihan Arsenal menerusi arahan ketua jurulatih Gunners, Unai Emery, ketika skuad berkenaan sedang menjalani sesi pemulihan.

Kunjungan itu sudah diatur sebelum, jadi Loew dan Bierhoff kemudiannya bertemu pemain antarabangsa Jerman, Bernd Leno dan Shkodran Mustafi di tempat pelawat kelab tanpa dapat bercakap dengan Ozil.

“Kami memang mahu bercakap dengan Mesut, tetapi kami perlu menerima bahawa pada ketika ini dia tidak mahu bercakap dengan kami,” kata Bierhoff.

Ejen Ozil, Erkut Sogut, yang dilaporkan sudah dihubungi Bierhoff sebelum kunjungan itu, enggan mengeluarkan kenyataan mengenai penolakan berkenaan.

Pada permulaan bulan ini, Loew berkata dia sering cuba menghubungi Ozil, tetapi tidak berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 7:14 PM